Khamis, 15 Disember 2016 | 9:38am

PSG, Monaco mara, Nice tersingkir

PEMAIN PSG, Christopher Nkunku diasak pemain Lille, Younousse Sankhare pada aksi Piala Liga Perancis di Stadium Parc des Princes, awal pagi tadi. - foto AFP
PEMAIN PSG, Christopher Nkunku diasak pemain Lille, Younousse Sankhare pada aksi Piala Liga Perancis di Stadium Parc des Princes, awal pagi tadi. - foto AFP

PARIS: Penyandang juara, Paris Saint-Germain (PSG) melangkah ke suku akhir Piala Liga Perancis, awal pagi tadi selepas membenam Lille 3-1 manakala Monaco membelasah Rennes 7-0.

Begitupun, pendahulu Ligue 1, Nice tersingkir selepas tewas 3-2 kepada Bordeaux dalam pertembungan peringkat 16 pasukan terbaik.

Pada aksi di Parc des Princes, PSG menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan ketika skuad bimbingan Unai Emery mengulangi kemenangan di final tahun lalu dengan menewaskan Lille.

Lucas menjaringkan dua gol bermula menerusi penalti pada minit ke-43 dan menggandakan jaringan pada minit ke-57 sebelum penyerang muda Sepanyol, Jese melengkapkan gol ketiga pada minit ke-69.

"Jese kian meningkat dan dia menjaringkan gol," kata Emery. "Bukan mudah untuknya namun dia sudah menemui rentak ketika perlawanan berjalan. Dia perlu bermain, ia adalah jelas."

PSG akan bertemu Metz di peringkat seterusnya selepas kelab itu mara menerusi penentuan penalti 11-10 menentang Toulouse.

Kemenangan besar Monaco dalam pada itu dibantu kecemerlangan pemain berusia 17 tahun, Kylian Mbappe yang meledak hatrik pertamanya di pentas profesional.

Mbappe yang memasuki usia 18 tahun pada 20 Disember ini sudah mengumpul enam gol sepanjang musim ini dalam semua kejohanan.

Pada aksi di Nouveau Stade, Bordeaux mendahului perlawanan seawal minit ke-14 menerusi Jaroslav Plasil sebelum jaringan Gaetan Laborde pada minit ke-22 meletakkan tuan rumah selesa mendahului Nice 2-0.

Nice merapatkan kedudukan sebelum rehat menerusi jaringan Alassane Plea namun 10 minit memasuki babak kedua, Bordeaux terus menambah gol menerusi Laborde dengan jaringan Mario Balotelli pada minit ke-83 menerusi penalti boleh dianggap sagu hati.

Selain Nice, Lyon juga mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan itu selepas tewas 4-3 menerusi penalti kepada Guingamp selepas permainan pada masa sebenar berakhir 2-2. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X