Khamis, 15 Disember 2016 | 2:42pm

LHDN rekod peningkatan cukai


KETUA Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan peningkatan cukai masing-masing RM511.33 juta, RM543.96 juta dan RM755.44 juta bagi tahun 2013, 2014 serta 2015 menerusi pendekatan siasatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah, berkata pendekatan siasatan itu membabitkan risikan aktiviti penyeludupan, pinjaman wang berlesen, perniagaan dalam talian dan perubatan.

Katanya, langkah itu didapati berkesan dalam meningkatkan jumlah kutipan cukai langsung.

"Pada masa sama, usaha membendung pihak yang cuba lari daripada membayar cukai mesti terus dilaksanakan, manakala pematuhan cukai secara sukarela terus diperkasakan.

"Pembayar cukai sedia ada perlu sentiasa peka terhadap tanggungjawab masing-masing dan melaporkan pendapatan tahunan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh LHDN," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Khas Bersepadu Task Force 2 Bilion (TF2B) 2017, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Datuk Nizom Sairi dan Pengarah Cawangan Siasatan Kuala Lumpur merangkap Perintis Program TF2B 2017, Md Jamil Sahrif.

 

Mengenai pelaksanaan TF2B, Sabin berkata, program itu menggunakan pendekatan berbeza dengan matlamat berorientasikan kutipan hasil.

 

"Kita harap dapat mencapai objektif pelaksanaan program ini yang akan dijalankan sepanjang tahun depan, dari segi kutipan dan pematuhan cukai secara sukarela," katanya.

Berita Harian X