Khamis, 15 Disember 2016 | 4:06pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada majlis pelancaran perkhidmatan rel Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) membabitkan Fasa Pertama antara stesen Sungai Buloh-Semantan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zaaba Zakeria

Tambang percuma MRT Sungai Buloh-Semantan selama sebulan - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak melancarkan perkhidmatan rel Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) membabitkan Fasa Pertama antara stesen Sungai Buloh-Semantan sejauh 24 kilometer yang akan dibuka kepada orang ramai, esok.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan berita gembira tambang percuma untuk perkhidmatan MRT Fasa Pertama ini termasuk bas pengantara selama sebulan sehingga 16 Januari tahun depan.

"Sebagai hadiah kepada rakyat bagi Tahun Baru serta memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien, saya mengumumkan bahawa Rapid Rail akan memberi perkhidmatan MRT percuma selama sebulan mulai esok sehingga 16 Januari ini.

"Ia termasuklah perkhidmatan bas pengantara. Tambang hanga akan dikenakan bermula 17 Januari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Nepal, Krishna Bahadur Mahata; Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani; dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, turut hadir.

Najib turut menjemput semua hadirin yang hadir pada majlis pelancaran itu untuk menaiki MRT itu bersama-sama beliau.

Laluan fasa pertama yang melibatkan 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer itu akan mula beroperasi pada 6 pagi esok.

Ia meliputi stesen Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Berita Harian X