Khamis, 15 Disember 2016 | 5:22pm

RM2b dijimatkan dalam projek MRT - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama penumpang pada majlis pelancaran fasa pertama MRT jajaran Sungai Buloh-Semantan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Kira-kira RM2 bilion dapat dijimatkan daripada kos sasaran awal projek Transit Aliran Massa (MRT), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan kos kira-kira RM21 bilion berbanding kos sasaran RM23 bilion pada peringkat awalnya.

"Namun pada hari ini, di mana semua kontrak sudah dianugerahkan dan kerja-kerja sudahpun hampir siap bagi keseluruhan laluan, kos pembinaan sebenar bagi projek ini adalah lebih kurang RM21 bilion.

"Projek MRT ini ialah lebih rendah daripada bajet dan mengikut masa ditetapkan," katanya ketika berucap merasmikan fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen Kwasa Damansara dekat sini, hari ini.

Pada majlis pelancaran yang bersejarah itu, Perdana Menteri turut mengumumkan perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma selama sebulan mulai esok hingga 16 Januari 2017 sebagai hadiah kepada rakyat bersempena sambutan Tahun Baharu.

"Ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X