Jumaat, 16 Disember 2016 | 12:40pm

UMW serah sumbangan RM382,000

Oleh Nor Azma Laila

[email protected]

SHAH ALAM: UMW Toyota Motor Sdn Bhd menyerahkan sumbangan sebanyak RM382,000 kepada dua organisasi iaitu Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Youth Trust Foundation (MyHarapan) di sini, hari ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama dan Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki kepada Dekan Fakulti Muzik UiTM, Prof Madya Dr Ramona Mohd Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif MyHarapan, Nurfarini Daing.

Dua organisasi itu masing-masing menerima sumbangan RM191,000.

Ismet berkata, dana berkenaan berjaya dikumpul melalui penganjuran persembahan Toyota Classics 2016 yang diadakan di Dewan Filharmonik PETRONAS, pada awal November lalu.

"Sejak diperkenalkan pada 1990, Toyota Classics sudah menyokong 63 organisasi kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM8 juta.

"Kami sangat berbangga untuk melihat sumbangan yang dilakukan ini mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka yang terbabit dalam organisasi berkenaan," katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu.

Fakulti Muzik UiTM akan memanfaatkan dana itu untuk tujuan Toyota Bamboo Sound Arts Project manakala MyHarapan menggunakannya sebagai geran belia kepada penerima terpilih.

Berita Harian X