Jumaat, 16 Disember 2016 | 3:01pm

Malaysia-Sri Lanka teroka kemungkinan meterai FTA


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) bersalaman dengan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia dan Sri Lanka bersetuju meneroka kemungkinan memulakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) bagi merancakkan perkembangan ekonomi kedua-dua negara.

Perkara itu terkandung dalam kenyataan bersama Malaysia-Sri Lanka selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengadakan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena, di Perdana Putra hari ini.

Sirisena tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan sulung tiga hari sejak menjadi Presiden Sri Lanka pada Januari tahun lalu.

Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen mengukuhkan dagangan dua hala, kerjasama pelaburan dan mempertingkatkan hubungan ekonomi bagi kepentingan bersama.

Sirisena memberi jaminan pelabur Malaysia akan menikmati iklim pelaburan kondusif dan menjemput mereka meneroka secara proaktif peluang ditawarkan negara itu.

Najib dan beliau turut berpuas hati dengan hubungan dua hala sedia ada serta mahu membawanya ke peringkat lebih tinggi dengan meneroka kerjasama baharu, termasuk dari segi politik, perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan sumber manusia dan latihan serta kebudayaan.

Malaysia dan Sri Lanka turut berkongsi pendirian sama berhubung beberapa isu serantau dan antarabangsa, dengan kedua-dua pihak mengiktiraf tanggungjawab satu sama lain dalam mewujudkan keamanan, pembangunan dan keselamatan serantau berasaskan aspirasi politik serta sosio ekonomi.

Najib dan Sirisena turut menyaksikan majlis menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara, menyentuh hal berkaitan pelancongan, pembangunan belia, kebudayaan, seni dan warisan, pekerja asing serta kerjasama saintifik dan teknikal.

Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 11 peratus kepada AS$439 juta (RM1.95 bilion) berbanding AS$429 (RM1.91 bilion) dalam tempoh sama pada 2015 manakala jumlah pelaburan pada 2015 bernilai AS$126 bilion (RM562 bilion).

Berita Harian X