Sabtu, 17 Disember 2016 | 11:12pm

EPL: Costa terus julang Chelsea ke persada

PEMAIN Chelsea, Diego Costa diasak pemain Crystal Palace, Damien Delaney pada saingan Liga perdana Inggeris (EPL) di Stadium Selhyrst Park, malam tadi. - Foto EPA

LONDON: Chelsea merekodkan kemenangan ke-11 berturut-turut dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.

Penyerang berbisa, Diego Costa terus menjadi tonggak kemenangan skuad bimbingan Antonio Conte itu dengan meledak gol tunggal perlawanan pada babak pertama menerusi tandukan.

Kemenangan menyaksikan Chelsea meraih kelebihan sembilan mata di puncak liga ketika dua pencabar utama, Liverpool serta Arsenal beraksi lebih lewat dan menariknya kejayaan yang dilakar tepat setahun selepas bekas pengurusnya, Jose Mourinho dipecat.

Chelsea menunggu sehingga minit ke-43 sebelum menjaringkan gol di Selhurst Park selepas Costa bijak memperdaya pertahanan Palace untuk menyambar hantaran Cesar Azpilicueta.

Ia adalah gol ke-13 penyerang kelahiran Sepanyol itu musim ini dan ke-50 buat kelab dari London itu.

Begitupun, Chelsea terpaksa kehilangan Costa menjelang jadual perlawanan padat, minggu depan menentang Bournemouth selepas berdepan penggantungan satu perlawanan kerana dilayangkan kad kuning kelima musim ini.

Seorang lagi tonggak, N'Golo Kante juga tidak beraksi selepas Krismas selepas turut mengumpul lima kad kuning.

Bagi Crystal Palace, kekalahan menyaksikan masalah kelab bimbingan Alan Pardew kian membesar selepas mencatat lapan kekalahan daripada 10 perlawanan.

Kelab itu kekal tiga mata di atas zon penyingkiran. - AP

Berita Harian X