Sabtu, 17 Disember 2016 | 11:28pm

Jawatan penghulu, penggawa perlu dinaik taraf - Zahid


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KKPPSM) ke-42 di Ipoh, sebentar tadi. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan penghulu dan penggawa perlu dinaiktaraf ke tahap yang lebih tinggi bersesuaian dengan skop tugasan mereka yang semakin luas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, biarpun institusi penghulu adalah institusi tradisional yang masih dikekalkan di negara ini, ia perlu ditransformasikan mengikut kesesuaian semasa.

"Ia bukan hanya perlu disesuaikan dalam aspek kebertanggungjawaban tetapi juga perlu disesuaikan dengan aspek perjawatannya terutama skim perkhidmatannya hendaklah dinaik taraf ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KKPPSM) ke-42 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Yang Dipertua KKPPSM, Ahmad Fuad Zainal Abidin.

Ahmad Zahid berkata, Perak antara negeri yang sudah pun melakukan transformasi dalam menambahbaik skim perkhidmatan bagi penghulu.

Katanya, beliau akan membawa cadangan menambah baik perkhidmatan dan perjawatan penghulu itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memastikan gaji permulaan skim perkhidmatan penghulu dapat dikaji semula dan ditambah baik.

"Saya juga mencadangkan supaya peranan dan pertanggungjawaban penghulu perlu dipermodenkan dan ia perlu dilakukan dengan mengubah dan menyesuaikannya dengan peranan dan tanggungjawab baharu," katanya.

Katannya, dalam era globalisasi masa kini, 87 peratus daripada kaedah komunikasi dilaksanakan dengan kaedah komunikasi tanpa lisan dan hanya 13 peratus sahaja komunikasi lisan digunakan.

Justeru, katanya, apabila peranan penghulu tradisional berubah dan dipermodenkan penghulu juga perlu didedahkan dengan kaedah komunikasi terkini dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

20 dibaca
Berita Harian X