Ahad, 18 Disember 2016 | 12:16am

Kemahiran daripada kursus RM5, jana RM5,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Berbekalkan RM5 sahaja, golongan wanita dan suri rumah kini boleh mengikuti pelbagai kursus jangka pendek disediakan Kolej Komuniti Selayang di sini, sebelum memanfaatkan kemahiran itu untuk menjana pendapatan.

Pengarah Kolej Komuniti Selayang, Leftenen Kolonel Bersekutu (PA) Zainah Rujihan, berkata kursus itu sesuai untuk mereka yang ingin menjana pendapatan kerana kemahiran diberi menepati keperluan semasa serta industri.

"Sejak penubuhan kolej ini pada 1 Mac 2003, kami menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dan sepenuh masa untuk membantu menaik taraf hidup wanita.

"Kursus jangka pendek hanya dikenakan bayaran RM5 untuk tempoh setengah hari; kursus sehari (RM10), kursus dua hari (RM20) dan tidak termasuk kos bahan mentah yang diperlukan," katanya kepada BH.

Zainah berkata, kursus terbabit boleh disertai oleh semua lapisan golongan wanita kaum tanpa mengira had umur, mengikut keperluan masing-masing.

"Ada pelbagai kursus disediakan. Majoriti wanita mengikuti kursus pastri, kulinari, fesyen dan pakaian, jahitan kreatif serta dandanan rambut," katanya.

Jana pendapatan


PELAJAR yang mengikuti program e-Usahawan di Kolej Komuniti Selayang.

Zainah berkata, selain dari kursus sepenuh masa dan kursus pendek yang diadakan pada hujung minggu, ada juga aktiviti kursus pendek lain yang dijalankan di pusat kemahiran itu.

Katanya, peserta daripada agensi kerajaan, badan swasta dan persatuan juga boleh membuat permohonan secara berkumpulan untuk berkursus. Pihak kolej akan menguruskan permohonan berkenaan mengikut keperluan mereka.

Zainah berkata, peserta boleh menambahkan pendapatan dengan menggunakan ilmu dipelajari.

"Banyak contoh kejayaan dilakar peserta selepas mengikuti kursus," katanya.

Contohnya, bekas peserta, Nor Azura Idris yang pernah mengikuti Kursus Urutan Tradisional Melayu, Penjagaan Selepas Bersalin dan Kursus Refleksologi dapat menambahkan pendapatan beliau dengan membuka pusat penjagaan kesihatan iaitu 'Azura Spa and Wellness'.

Ada peserta kursus yang dapat menggunakan ilmu selepas berkursus untuk menambahkan pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

Antaranya, peserta, Adzurawaty Mohd Ramlan yang menjual sabun buatan sendiri di laman media sosial.

Manakala, ada juga peserta kursus yang memulakan langkah untuk membuka perniagaan yang lebih besar selepas kursus.

"Misalnya, alumni, Rashidah Mat Zin yang mengambil jurusan masakan dan kemudian mengusahakan perniagaan kafe dan katering.

"Anggaran pendapatan tambahan sepenuh masa bagi alumni kami memperoleh antara RM1,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya.

Bantu tingkatkan kemahiran wanita


KURSUS jangka pendek yang disediakan oleh Kolej Komuniti Selayang boleh disertai oleh semua lapisan golongan wanita tanpa mengira had umur, mengikut keperluan masing-masing.

Zainah berkata, kursus ditawarkan amat membantu meningkatkan taraf hidup, pendapatan dan kemahiran seseorang khususnya wanita.

"Dalam keadaan ekonomi semakin mencabar dan kos sara hidup semakin meningkat, kemahiran yang ada menjadi salah satu dari keistimewaan yang dapat membantu dalam memperoleh pendapatan untuk mengharungi cabaran hidup.

"Wanita perlu berani mencari ruang dan peluang untuk memperoleh pendapatan bukan saja untuk menampung kos sara hidup malahan juga boleh mencipta kejayaan yang besar hasil dari perniagaan yang diceburi," katanya.

Selain dibuka pada orang ramai, kursus pembelajaran sepanjang hayat itu menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) menyertainya untuk mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar berkemahiran dengan bayaran sangat kompetitif.

Jana pendapatan


KOLEJ Komuniti Selayang menawarkan pelbagai kursus jangka pendek bagi memanfaatkan kemahiran untuk menjana pendapatan. - Foto Shiraz Ali

"Walaupun kursus pendek ini ditawarkan kepada sesiapa saja, namun ia amat popular dalam kalangan wanita dan suri rumah yang mahu belajar memasak atau menambah kemahiran sedia ada.

"Ada banyak kursus yang ditawarkan amat bersesuaian dengan wanita dan suri rumah yang gemar memasak," katanya.

Antara yang popular ialah Sijil Asas Kulinari, Sijil Kulinari, Sijil Pastri, Sijil Operasi Perhotelan, Sijil Fesyen dan Pakaian. Sijil Reka bentuk Dalaman dan Diploma 'Games Art'.

Bagi kursus pendek, wanita boleh mengikuti kursus Aplikasi Komputer, Bahasa, CIDB, Dandanan Rambut, Kerohanian dan Keagamaan, Kulinari, Pastri, Pengoperasian, Perniagaan, Seni Kreatif, Terapi Kecantikan dan Spa, Animasi 2D dan 3D, Fotografi Komersial, Penyelenggaraan Bangunan, Teknologi Pembinaan Bangunan, Audio Video, Fesyen dan Pakaian, Fotografi Komersial, Jahitan Kreatif, Pembangunan Diri, Pengkeranian Akaun, Senireka Grafik, Pengendalian Acara, Servis Kenderaan Ringan, Lukisan Seni bina, Operasi Perhotelan dan Sains sukan & Kesihatan.

Zainah berkata, kursus jangka jangka panjang secara sepenuh masa peringkat sijil, dijalankan selama lapan bulan, manakala dua tahun untuk diploma.

INFO:

  • 35,938 peserta ikuti pelbagai kursus di Kolej Komuniti Selayang.
  • 71 pengajar Kolej Komuniti Selayang .
  • 3 pengambilan setahun bagi kursus sepenuh masa.
  • Kursus pendek ditawarkan setiap bulan ikut jadual disediakan.
  • Maklumat lanjut di www.kkselayang.edu.my.

Laman media sosial:

Facebook: One Selayang

Facebook Fan Page: Kolej Komuniti Selayang

Twitter: KKSELAYANG16

Instagram: kkselayang

KOLEJ Komuniti Selayang menawarkan pelbagai kursus pendek dan sepenuh masa untuk membantu menaik taraf hidup wanita.
PENGARAH Kolej Komuniti Selayang, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Zainah Rujihan. - Foto Shiraz Ali
Berita Harian X