Ahad, 18 Disember 2016 | 6:09pm

Program #pray4rohingya di Putrajaya

PUTRAJAYA: Majlis Ittihad Ummah dan Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini menganjurkan program #pray4rohingya sebagai solidariti rakyat Malaysia membantah penindasan terhadap masyarakat Islam di Myanmar.

Timbalan Pengerusi #pray4rohingya, Mohamed Ghadafi Mohamed Khairi, berkata program terbabit berkesinambungan daripada program Perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya yang diadakan pada 4 Disember lalu.

Katanya, ia bertujuan menunjukkan keprihatinan masyarakat di negara bagi dalam memperjuangkan hak asasi umat Islam di seluruh dunia terutama di utara Rakhine, Myanmar, di mana keganasan terhadap etnik Islam Rohingya berterusan di wilayah bergolak itu sejak krisis tercetus pada 9 Oktober lalu.

"Program ini bukan kerana agama semata-mata, sebaliknya soal hak asasi dan kemanusiaan yang perlu dibantu serta diperjuangkan," katanya ketika ditemui BH, di sini hari ini.

Pada 4 Disember lalu, lebih 20,000 orang menghadiri Perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya yang berlangsung di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur termasuk etnik Islam Rohingya yang berada di negara ini.

Perhimpunan berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; serta pemimpin UMNO.

Kata Ghadafi, program hari ini dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, seterusnya solat hajat bagi kesejahteraan serta keselamatan penduduk Islam Rohingya.

"Lebih 2,000 peserta dijangka hadir menyertai program antara 6.30 petang hingga 9.30 malam ini dan kami bersyukur serta menghargai komitmen orang ramai menyokong perhimpunan ini, lebih-lebih lagi kerana sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik demi membela umat Islam.

"Tiga penceramah jemputan turut menyampaikan ceramah pada program ini iaitu Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin; Ahli Jawatankuasa Biro Agama UMNO, Rosdi Long serta Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduk Nik Abdul Aziz.

"Selain itu persembahan 'buskers' dengan tajuk lagu Selamat Malam Rohingya dan puisi turut diadakan di perkarangan masjid sebagai mengisi program solidariti ini," katanya.

Berita Harian X