Ahad, 18 Disember 2016 | 7:40pm

LRA perlu ada janakuasa kedua - TNB

KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman ketika sidang media di ibu pejabat TNB, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis
KETUA Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman ketika sidang media di ibu pejabat TNB, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Janakuasa 'kedua' sebagai sistem sokongan ketika penyelenggaraan perlu diwujudkan bagi mengelak sebarang masalah bekalan air.

Cadangan itu akan dikemukakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menerusi satu pertemuan yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman, berkata penyediaan set janakuasa tunggu sedia adalah tanggungjawab pemilik aset, iaitu SYABAS dan Air Selangor.

Sehubungan itu, katanya, TNB akan berperanan sebagai pemudah cara dan membekalkan kepakaran dalam menaik taraf sistem janakuasa kedua atau sokongan di Loji Rawatan Air (LRA).

"LRA ketika ini ada set janakuasa sokongan tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan elektrik bagi menjalankan operasi rawatan air.

"TNB akan mencadangkan supaya LRA menaik taraf sistem janakuasa mereka supaya setiap penyelenggaraan yang dijadualkan tiga tahun sekali ini tidak menjejaskan bekalan air harian.

"Cadangan ini perlu dinilai oleh mereka kerana ia membabitkan kos yang tinggi," katanya pada sidang media di ibu pejabat TNB, sebentar tadi.

Pemberhentian tugas di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong akan dijalankan TNB esok selepas ia ditangguhkan pada 27 September lalu berikutan permintaan penyedia sektor air.

TNB memberi jaminan penyelenggaraan tempoh maksimum penyelenggaraan itu adalah 16 jam dan bekalan elektrik untuk LRA berkenaan akan pulih seperti sedia kala.

Bagaimanapun, SYABAS menjelaskan gangguan bekalan air di sebahagian besar kawasan Lembah Klang akan berlarutan selama enam hari, iaitu mulai esok hingga Sabtu ini.

Roslan berkata LRA beroperasi menerusi bekalan kuasa 57 Mega Watt (MW), termasuk tiga unit rawatan air, masing-masing berkadar 15 MW.

"Set janakuasa bergerak TNB tidak serasi dengan voltan loji rawatan bagi membolehkan elektrik disalurkan dan operasi harian berjalan seperti biasa," katanya.

Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Datuk Baharin Din, menjelaskan penyelenggaraan itu tidak hanya ditangguhkan pada 27 September lalu, sebaliknya berlarutan beberapa kali.

"Saya tidak ingat berapa kali ia ditangguhkan, namun penjelasan dikemukakan SYABAS adalah untuk menjaga kebajikan pengguna air di Selangor.

"Situasi ini menyebabkan kami tiada sebarang pilihan, selain akur dengan permintaan mereka tetapi keadaan peralatan di PMU Bukit Badong sudah kritikal.

"Kami perlu selenggara bagi mengelakkan masalah lebih besar yang dijangka berlarutan antara tiga hingga empat minggu sehingga menjejaskan pengguna di kawasan berdekatan," katanya.

Berita Harian X