Isnin, 19 Disember 2016 | 2:22pm

Ahli gabungan tentukan pentadbiran FAM - Velappan

BEKAS Setiausaha AFC, Datuk Peter Velappan temu ramah khas untuk BH Sukan. - Foto Osman Adnan
BEKAS Setiausaha AFC, Datuk Peter Velappan temu ramah khas untuk BH Sukan. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menentukan bagaimana bentuk pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas ini adalah terletak di tangan ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu.

Itu yang dinyatakan oleh bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan kepada BH Online sebentar tadi.

Menurutnya, mungkin tidak salah jika hendak melantik penaung atau penasihat, namun ia perlu dipastikan betapa kuasa tertinggi dalam badan induk itu adalah presiden.

Katanya, tidak wujud proksi dalam pentadbiran.

"Memang FAM tidak boleh ditadbir secara proksi, kerana dalam apa jua keadaan pun, hanya presiden yang boleh buat keputusan. Kalau nak lantik penasihat atau penaung mungkin boleh, tapi yang menentukan keputusan hanya presiden.

"Tan Sri Annuar Musa juga bekas Timbalan Presiden FAM dan beliau tahu apa yang ada dalam statut FAM. Malah dia juga boleh bertanding untuk jawatan dalam FAM.

"Apapun kita tunggu saja pemilihan baharu nanti. Paling penting adalah ahli gabungan perlu bijak membuat pilihan dan keputusan menentukan siapa presiden di tangan mereka.

"Malah sama ada berminat untuk melantik penasihat atau penaung terletak di bawah ahli gabungan. Mereka boleh bersuara sama ada bersetuju atau tidak," kata Velappan yang juga bekas Penolong Setiausaha Agung FAM.

Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam Facebook miliknya kelmarin mempertikai pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang mencadangkan supaya FAM ditadbir secara proksi.

Katanya, cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan.

Semalam, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pula mencadangkan TMJ untuk bertanding merebut jawatan presiden kerana pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dianggap calon paling sesuai untuk berada di kerusi panas itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X