Selasa, 20 Disember 2016 | 1:29pm

Fauzi Khalid optimis kembali ke arena silat bulan depan


MOHD Fauzi Khalid. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Mohd Fauzi Khalid kemungkinan boleh kembali menjalani latihan seperti biasa bersama pasukan silat kebangsaan Januari ini.

Pesilat Program Podium yang bertanding dalam kelas Putra F itu mengalami kecederaan gegaran otak yang mula dikenal pasti ketika menyertai Sukan Pantai Asia di Da Nang, Vietnam Oktober lalu.

"Semalam, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bermesyuarat bersama bahagian perubatan Program Podium dan Fauzi masih mempunyai dua fasa rawatan yang perlu dijalani.

"Berdasarkan rekod doktor, proses rawatannya akan selesai dalam tempoh dua minggu ini dan dia kemungkinan boleh kembali berlatih selepas itu (Januari)," kata Pengurus Besar PESAKA, Datuk Osman Nok kepada BH Sukan, hari ini.

Sekiranya proses rawatan itu berjalan lancar, Fauzi yang terlepas aksi di Kejuaraan Silat Dunia di Bali awal bulan ini kemungkinan boleh menyertai kem latihan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Kuala Tahan, Jerantut pada 4 hingga 13 Januari ini.

Ditanya mengenai persediaan pasukan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini, Osman berkata: "Selain latihan dalam hutan di Kuala Tahan, kami juga mempunyai pertandingan percubaan di Batam, Indonesia pada Februari.

"Selepas itu, pada bulan Mac, kami mempunyai pra Sukan SEA yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur. Ini semua adalah persediaan pasukan sebelum menghadapi Sukan SEA di halaman sendiri."

Berita Harian X