Selasa, 20 Disember 2016 | 5:54pm

Jejantas penghubung MRT dibina pemilik bangunan


TREN Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp). - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan jejantas yang menghubungkan stesen MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dengan bangunan bersebelahan stesen MRT, dibina oleh pemilik bangunan persendirian.

Menurut kenyataan media MRT Corp, sepanjang tempoh pembinaan laluan SBK, MRT Corp menandatangani beberapa perjanjian berhubung pembinaan jejantas bersama pemilik hartanah persendirian.

Ia membabitkan pembangunan hartanah komersial dan campuran yang terletak bersebelahan stesen MRT.

"Memandangkan jejantas berkenaan terletak di luar kawasan kawalan MRT Corp, kedua-dua pihak bersetuju pembinaan jejantas diuruskan pemilik hartanah persendirian, yang turut bertanggungjawab ke atas kos dan jadual pembinaan masing-masing.

"Walaupun usaha dibuat untuk menyelaraskan masa bagi menyiapkan jejantas ini, jadual pembinaan jejantas berkenaan adalah di luar kawalan MRT Corp," katanya.

Kenyataan media itu dikeluarkan berikutan beberapa isu dibangkitkan pengguna laluan SBK, termasuk menerusi media sosial sejak operasi bagi Laluan SBK bermula 16 Disember lalu.

Antara jejantas dipersetujui untuk dibina bagi laluan SBK adalah Stesen Kampung Selamat dengan pembangunan D'Sara Sentral dan SqWhere; Stesen Surian dengan Sunway Nexis dan Tropicana Gardens;

Stesen Mutiara Damansara dengan Surian Tower (yang ada jejantas ke Hotel Royale Chulan, e-Curve, The Curve dan IPC) serta Stesen Bandar Utama dengan beberapa hartanah berdekatan seperti pusat beli-belah 1Utama dan 1Powerhouse.

Berita Harian X