Rabu, 21 Disember 2016 | 2:33pm

Nurul Ain terlepas Pra Sukan SEA


NURUL Ain (kanan) ketika menerima rawatan daripada fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN), di Bali, awal bulan ini.

KUALA LUMPUR: Pesilat negara, Nurul Ain Sohrab mungkin tidak dapat menyertai Pra Sukan SEA yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Mac ini.

Ia ekoran kecederaan lutut kiri dialaminya ketika Kejuaraan Dunia di Bali awal bulan ini dan berdasarkan rekod perubatan, pesilat dari Sabah itu perlu berehat setidak-tidaknya selama tiga bulan.

"Dia sudah melakukan rawatan susulan sebaik saja pulang dari Bali," kata Pengurus Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok kepada BH Sukan, hari ini.

"Nurul Ain perlu berehat dua hingga tiga bulan dan dalam tempoh itu menjalani rawatan. Kecederaannya itu tidak memerlukan pembedahan, cuma perlu berehat dan menjalani fisioterapi.

"Pengurusan pasukan memutuskan yang dia perlu berehat dan dia tidak akan menyertai Pra Sukan SEA Mac ini dan tempatnya akan digantikan dengan pesilat lain.

"Namun, pada bulan April, kami akan memutuskan semula sama ada dia boleh kembali beraksi ataupun sebaliknya."

Pada edisi ke-17 di Bali, Nurul Ain mengalami kecederaan itu di pusingan pertama suku akhir kelas Putri D namun berjaya menewaskan lawannya dari Iran, Khalili Baryehkhani seterusnya melayakkan dirinya ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Nurul Ain dinasihatkan wakil perubatan Institut Sukan Negara (ISN) untuk tidak menyertai aksi separuh akhir ekoran kecederaannya itu.

Isteri kepada juara dunia kelas Putra D, Razak Ghazali itu bagaimanapun membawa pulang pingat gangsa pada temasya berkenaan.

Berita Harian X