Rabu, 21 Disember 2016 | 4:32pm

Henti beri projek kepada syarikat konsesi - PERKOBF


PRESIDEN Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas 'F' (PERKOBF) Malaysia, Tukiman Radion. - Foto Muhaizan Yahya.

IPOH: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) meminta kerajaan Persekutuan membatalkan projek penyelenggaraan jalan persekutuan dan bandaran di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kepada syarikat konsesi.

Presidennya, Tukiman Radion, berkata pemberian tugas itu kepada syarikat konsesi menyebabkan kontraktor kecil tiada peluang kerja dan kehilangan punca pendapatan.

"Sebelum ini, kontraktor kecil mempunyai banyak projek kerana jalan persekutuan dan jalan bandaran dilaksanakan sendiri oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan majlis perbandaran sebelum peluang kerja itu diberi kepada kontraktor kecil.

"Kini, hari-hari ini kami 'menangis' kerana tiada kerja dan hampir sudah tiga tahun tidak mempunyai projek sehinggakan dalam akaun simpanan kadang-kadang cuma ada RM10 dan RM15," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli PERKOBF di sini, hari ini.

Tukiman turut membantah hasrat kerajaan Perak memberikan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada syarikat konsesi.

Katanya, projek puluhan juta ringgit itu sebelum ini menjadi harapan kepada 2,546 kontraktor kecil kelas F di Perak untuk menjana ekonomi dan menampung kos sara hidup mereka.

"Kita berharap supaya kerajaan Perak membatalkan cadangan atau niat hendak mengagihkan projek itu kepada sebuah kontraktor yang akan dan mungkin sudah dilantik.

"Bagi kontraktor kecil seperti kami, projek yang kecil inilah yang boleh menampung perbelanjaan dan digunakan untuk menyara keluarga," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X