Rabu, 21 Disember 2016 | 4:38pm

Skuad hoki wanita ada peningkatan - Dhaarma Raj


DHAARMA Raj Abdullah. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Selepas setahun mengendalikan skuad hoki wanita negara, akhirnya usaha Dhaarma Raj Abdullah mula menampakkan hasil menjelang pusingan kedua Liga Hoki Dunia (WHL) yang dijadual berlangsung di ibu negara, bulan depan.

Walaupun hanya mencatat satu kemenangan daripada lima aksi persahabatan antarabangsa 'kelas A' berdepan New Zealand, namun anak buah Dhaarma berjaya mempamerkan peningkatan bagi setiap perlawanan.

Paling ketara adalah peningkatan pada bahagian pukulan sudut penalti apabila tiga daripada empat gol pasukan ranking ke-21 dunia itu hadir menerusi percubaan terbabit sewaktu di Taranaki, New Zeakand.

"Saya berpuas hati apabila latihan intensif sejak awal tahun ini sudah menampakkan hasil apabila pakar flick Nuraini (Rashid) menjaringkan dua gol pukulan sudut penalti dengan pukulan Siti Nur Amarina (Ruhani) juga semakin menjadi.

"Biarpun New Zealand amat kuat jika dibandingkan taraf pemain saya, malah lawan paling kuat pernah ditemui sejak saya menjadi jurulatih pasukan, namun saya gembira kerana ada peningkatan dipamerkan.

"Ia petanda baik kepada pasukan menjelang aksi pusingan kedua WHL bulan depan," katanya.

Selepas mengejutkan Jepun 2-0 bulan lalu, skuad Dhaarma yang diletakkan dalam Kumpulan B Pusingan Kedua WHL bersama Ireland,

Kazakhstan dan Hong Kong terus 'angkuh' di pentas antarabangsa.

Kali ini menewaskan pasukan ranking kelima dunia New Zealand 1-0 pada aksi ketiga persahabatan, baru-baru ini biarpun tewas dua perlawanan awal 0-3 dan 0-2 dengan dua lagi perlawanan mereka kalah 2-5 serta 1-2.

Berita Harian X