Khamis, 22 Disember 2016 | 12:09am

Hormati hubungan dengan bukan Islam

SOALAN: Saya seorang pegawai di syarikat swasta dan kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada orang bukan Islam. Adakah wuduk saya akan terbatal jika bersalaman dengan golongan itu walaupun kaum sejenis.

Sebagai makluman, Islam tidak pernah melarang umatnya bersahabat atau bersalaman dengan bukan Islam. Bahkan Nabi SAW sangat menghormati mereka sebagai manusia yang bermasyarakat walaupun agama mereka tidak diiktiraf oleh Islam.

Sehubungan itu, ulama menegaskan bahawa wuduk seseorang tidak akan terbatal jika mereka bersalaman dengan golongan bukan Islam yang sama jantinanya. Contohnya, seorang lelaki Muslim dibenarkan bersalaman dengan lelaki kafir dan begitulah juga perempuan Islam boleh bersalaman dengan perempuan kafir.

Wuduk kedua-dua mereka tidak terbatal selagi tidak menyentuh golongan yang bukan kaum sejenisnya.


ISLAM tidak pernah melarang umatnya bersahabat atau bersalaman dengan bukan Islam.

Mohon jasa baik ustaz menjelaskan berhubung sentuhan lelaki terhadap wanita (bukan mahram) yang boleh menyebabkan wuduk mereka terbatal. Saya dimaklumkan terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan ulama empat mazhab. Harap dapat pencerahan sewajarnya?

Maklumat yang disampaikan itu adalah benar. Ulama yang mewakili empat mazhab saling berselisih pandangan dalam isu ini. Namun, sebelum menjawab persoalan itu, ingin diingatkan bahawa pegangan umat Islam di Malaysia adalah mazhab Syafie.

Berpegang kepada mazhab Syafie lebih diutamakan bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam jika tidak kena dengan gayanya. Walau bagaimanapun ia bukanlah satu kewajipan yang akan menyebabkan saudara atau saudari berdosa apabila meninggalkan saranan ini.

Mazhab Hanafi berpendapat, sentuhan antara lelaki dan wanita tidak membatalkan wuduk selagi ia tidak menyebabkan nafsu seseorang itu terangsang sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.

Jika nafsu syahwat terangsang akibat daripada sentuhan itu, maka wuduk mereka akan terbatal.

Berbeza pandangan mazhab Maliki, mereka berpendapat wuduk hanya akan terbatal jika bersentuhan lelaki atau perempuan yang mencapai umur baligh. Ini bermaksud menyentuh anak kecil yang belum baligh tidak akan membatalkan wuduk.

Sentuhan antara mereka sama ada secara sengaja atau sebaliknya menyebabkan nafsu terangsang. Oleh itu, sentuhan yang tidak membangkitkan nafsu tidak akan membatalkan wuduk.

Sentuhan mestilah bertemu kulit dengan kulit tanpa sebarang kain atau lapik.

Pandangan mazhab Syafie agak tegas berbanding mazhab lain. Mereka berpendapat sentuhan antara lelaki dan wanita (bukan mahram) akan menyebabkan wuduk terbatal.

Hukum itu bersifat umum untuk semua keadaan dan lapisan masyarakat sama ada tua, muda, hidup atau mati, sengaja, kebetulan, bernafsu atau sebaliknya.

Manakala mazhab Hambali hanya mengkhususkan hukum kepada sentuhan yang bersyahwat. Jika sentuhan itu tidak menyebabkan nafsu terangsang maka wuduk tidak batal.

Jika rangsangan syahwat berlaku akibat sentuhan itu maka wuduk mereka akan terbatal walaupun ia berlaku antara mahram.

Penjelasan itu membuktikan terdapat pelbagai pandangan dalam isu ini. Walau bagaimanapun, pendekatan mazhab Syafie adalah terpilih untuk diamalkan memandangkan ia mazhab rasmi di Malaysia.

Semua mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat ibadah iktikaf tidak sah dilakukan kecuali di masjid atau surau yang mempunyai lima waktu solat?

Ini bermaksud, seseorang itu tidak boleh beriktikaf di pejabat, sekolah, bilik tidur dan sebagainya seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menyetubuhi mereka (isteri-isteri) sedangkan kamu sedang beriktikaf di dalam masjid." (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Sehubungan itu, ulama menegaskan ibadah iktikaf tidak akan sah jika tiga rukun iktikaf tidak ditepati iaitu niat untuk beriktikaf, dilakukan di dalam masjid atau surau sahaja, tidak keluar daripada masjid tanpa sebarang keperluan penting dan tidak melakukan perbuatan membatalkan iktikaf seperti bersetubuh.

Bagi wanita yang sudah berkahwin wajib mendapat keizinan daripada suami masing-masing untuk berbuat demikian. Jika suami tidak mengizinkan, maka perbuatan itu menjadi haram dan berdosa.

Penulis ialah Pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X