Khamis, 22 Disember 2016 | 10:42am

Album solo bukti kemampuan Syed Shamim


SYED Shamim atau nama sebenarnya Syed Shamim Syed Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Syed Shamim bakal membuktikan kemampuan bergerak solo menerusi album sulungnya yang akan dipasarkan tahun depan.

Syed Shamim atau nama sebenarnya Syed Shamim Syed Abdul Kadir, 23, mengakui bukan mudah untuk beliau menapak dalam bidang muzik sebagai artis solo kerana memulakan kerjaya sebagai rakan duet kepada penyanyi, Tasha Mashahar.

"Saya berharap album yang bakal dilancarkan itu dapat membuktikan kemampuan saya sebagai penyanyi solo sekali gus menepis dakwaan hanya bergantung sebagai rakan duet.

"Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album sulung saya itu sangat menguji kemampuan diri kerana sebelum ini kebanyakan produk adalah bergenre santai. Jadi kali ini, saya ingin menampilkan sisi matang diri saya," katanya kepada BH Online.

Antara komposer yang menyumbang karya untuk album solo pertamanya ialah DJ Fuzz, Zul 2by2, Toi HyperAct, Omar K dan Ezra Kong.


SYED Shamim bergerak solo menerusi album sulungnya yang akan dipasarkan tahun depan.

SYED Shamim (kiri) dan Tasha Mashahar.

Sementara itu, Syed Shamim menerima baik komen netizen yang menganggap wajah dan suaranya mirip komposer tempatan, Ajai.

Malah, beliau berbangga dikatakan mempunyai persamaan dengan figura muzik popular itu.

"Bukan saja wajah, malah ada peminat yang turut menyamakan suara saya dengan Abang Ajai. Saya sering memuat naik video menyanyi di Instagram saya dan pasti ada yang mengaitkan saya dengan Abang Ajai.

"Semestinya saya berbangga disamakan dengan komposer popular tempatan. Saya sendiri ada berjumpa Abang Ajai pada beberapa acara, tetapi belum sempat bergambar dengannya," kata Syed Shamim.

Berita Harian X