Khamis, 22 Disember 2016 | 1:13pm

Peniaga patuh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,764 pemeriksaan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2016 dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh negara sejak 19 Disember lalu.

Ia membabitkan 4,543 pemeriksaan ke atas perniagaan runcit, manakala selebihnya ke atas perniagaan borong.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata hanya satu aduan kenaikan harga barang kawalan borong diterima tetapi tiada peniaga dikenakan tindakan.

"Pemeriksaan mendapati semua peniaga mematuhi senarai harga SKHMP Krismas 2016.

"Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra SKHMP Krismas 2016 di The Village Grocer, Bangsar di sini, pagi ini.

JAMIL (kanan) melihat kualiti ayam yang juga di antara barang kawalan ketika lawatan sempena Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas di sebuah pasar raya di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

Sebanyak 18 barangan harga terkawal musim perayaan yang ditetapkan dan berkuat kuasa mulai 19 hingga 28 Disember ini.

Skim itu dilaksanakan selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan, hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan, yang dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Senarai barangan harga terkawal ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, ayam belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing/biri-biri import bertulang, daging kambing/biri-biri import tanpa tulang dan daging paha kambing/biri-biri bertulang.

Barangan lain termasuk telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, tomato, lada benggala hijau, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Berita Harian X