Khamis, 22 Disember 2016 | 2:18pm
KEADAAN Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, berhampiran Gua Tempurung, hari ini. - Foto Farah Suhaidah Othman

2 maut nahas tiga kenderaan di Gua Tempurung


DUA lelaki maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 24, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, berhampiran Gua Tempurung, hari ini. - Foto Farah Suhaidah Othman

GOPENG: Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 24, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, berhampiran Gua Tempurung dekat sini, hari ini.

Dalam nahas jam 10 pagi itu, Asaya Abdul Rahim, 50, dan Muhammad Amirul Mukminin Muhammad Shuhaimi, 16, meninggal dunia di lokasi.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berasal dari Sauk, Kuala Kangsar, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala Ipoh sebelum dirempuh Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah lori tanpa muatan melanggar belakang Toyota Hilux berkenaan yang menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu terbabas ke laluan bersebelahan, lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Rohana Mustafa, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 10.06 pagi sebelum mengerahkan anggota ke lokasi.

"Penunggang dan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Noor Janihan Nanyan, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

"Pemandu lori dan Toyota Hilux yang cedera ringan dihantar hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Berita Harian X