Khamis, 22 Disember 2016 | 4:03pm

Wanita OKU, anak didakwa dera pembantu rumah

SEREMBAN: Tiga beranak termasuk ibu berstatus orang kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di mahkamah di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan dan mencederakan pembantu rumah Indonesia di Port Dickson, baru-baru ini.

Di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh, K Kaliamah, 49, dan anaknya, S Muhesh Kumar, 20, dituduh memperdagangkan Koiriyah, 33, untuk bekerja secara paksa di Taman Jimah Jaya, Tanah Merah Site C, Port Dickson, antara Oktober lalu hingga bulan ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Fathiyah Idris menetapkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dan tarikh sebutan semula kes pada 3 Januari depan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M Sivam.


K Kaliamah dan anaknya, S Muhesh Kumar ketika di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak di Mahkamah Majistret Port Dickson, dua beranak itu bersama seorang lagi tertuduh, S Shashikumar, 25, didakwa mencederakan Koiriyah di lokasi dan masa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini, manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.

Siti Khairiah menetapkan pada 3 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X