Khamis, 22 Disember 2016 | 8:37pm

Ravindran Kurusamy dilantik Presiden UMW Toyota Motor

PRESIDEN UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy
PRESIDEN UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) mengumumkan pelantikan Ravindran Kurusamy sebagai Presidennya yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2017.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Datuk Ismet Suki, yang tamat tempoh khidmat selepas 26 tahun di syarikat itu.

Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Bhd dan Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin, berkata Ravindran memiliki pengalaman luas dalam operasi syarikat menerusi pelbagai posisi disandangnya dalam beberapa bahagian penting kumpulan itu sejak 26 tahun lalu.

Beliau berkata, ia memberikan kelebihan kepada Ravindran untuk mendalami keseluruhan operasi kumpulan, khususnya hubungan dengan rakan kongsi Toyota Motor Corporation.

Sebelum ini, beliau menyandang jawatan Pengarah Eksekutif Selepas Jualan, Pembelian, Jaminan Kualiti dan Hartanah kumpulan.

Ravindran adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dan kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Amerika Syarikat pada 1988.

Sementara itu, Ravindran berkata, sebagai beliau menyasarkan untuk memaksimumkan prestasi keseluruhan Toyota di pasaran Malaysia dan untuk memastikan jenama itu kekal sebagai peserta utama dalam sektor automotif negara.

Berita Harian X