Khamis, 22 Disember 2016 | 9:32pm

2 pelajar maut motosikal langgar tiang elektrik

BEHRANG: Dua pelajar maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar tiang elektrik di Kilometer 113, Jalan Persekutuan Tanjung Malim-Slim River, berhadapan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di sini, jam 5.40 petang tadi.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020 dan masing-masing berasal dari Kampung Pauh, Behrang Stesen dan Bandar Behrang 2020, tercampak di tengah jalan.

Penunggang, Muhammad Aiman Danial Yunus dan rakannya, Nur Fazhilatul Akhma Yunus, masing-masing berusia 16 tahun, dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa, berkata siasatan awal mendapati motosikal Honda Wave dinaiki mangsa melanggar tiang elektrik yang terletak di atas pembahagi jalan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, motosikal berkenaan terseret di atas jalan sehingga ke lorong kanan jalan.

"Kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Slim River," katanya, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X