Jumaat, 23 Disember 2016 | 11:25pm

Raja Muda Selangor titah FAS dirombak segera

KUALA LUMPUR: Konflik membabitkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) nyata begitu membimbangkan sehingga mendapat perhatian Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi akaun rasmi Instagramnya, Tengku Amir menitahkan 'orang lama' dalam organisasi FAS supaya berundur diri dengan cara terhormat.

Tambahnya, mentaliti pengurusan FAS yang mengharapkan subsidi dan bantuan dana kerajaan negeri perlu dihentikan.

Selain itu, FAS perlu melakukan rombakan penuh membabitkan Ahli Jawatankuasa (EXCO) supaya lebih relevan dan sesuai dengan kehendak generasi sekarang.

"FAS wajib mengorak strategi bukan sahaja untuk pasukan utama, malah meletakkan penekanan yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan bola sepak akar umbi, mempertingkatkan mutu infrastruktur di serata negeri dan melaksanakan aspek pemasaran sukan yang komprehensif untuk memperoleh pendapatan yang mapan.

"Kita perlukan suntikan nafas baharu. Pasukan Gergasi Merah yang kaya dengan sejarah harus kita kekalkan martabatnya dan sangat penting untuk kita semua perjuangkan.

"Justeru, sekiranya barisan EXCO tidak dapat memperbaiki situasi dalam masa terdekat, beta cadangkan mereka berundur secara terhormat supaya pasukan berkebolehan yang baharu dapat memulihkan organisasi yang tenat ini," katanya.

Tengku Amir menuntut Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, supaya memperkenalkan barisan baharu yang bebas daripada pengaruh politik, berdasarkan merit, bertenaga dan paling penting dapat membuahkan hasil yang positif terhadap pasukan bola sepak kesayangan rakyat Selangor.

FAS sebelum ini berdepan masalah peruntukan dan mereka memerlukan bajet minimum RM15 juta bagi meneruskan penyertaan The Red Giants bagi saingan musim hadapan.

Ini sekali gus menyaksikan mereka berkemungkinan terpaksa menarik diri andai bajet minimum yang diperlukan gagal diperoleh dalam tempoh singkat ini.

11 dibaca
Berita Harian X