Sabtu, 24 Disember 2016 | 1:25pm

Perlindungan Rohingya atasi kedaulatan Myanmar

WAKIL Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar mengaminkan doa yang dibaca Naib Presiden Ulama Sedunia, Datuk Seri Hadi Awang (kanan) pada program Himpunan Peduli Ummah "Pray 4 Rohingya 2016" di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Kedaulatan Myanmar sebagai sebuah negara bukan bermakna pemimpinnya boleh melakukan pencabulan terhadap hak asasi masyarakat Islam dan Rohingya.

Wakil Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata jika berlaku kezaliman, penindasan dan jenayah kemanusiaan, soal kedaulatan sesebuah negara ditangguhkan terlebih dahulu bagi memberi perlindungan kepada masyarakat yang dianiaya.

Justeru, katanya, tindakan negara ASEAN seperti Malaysia memperjuangkan hak dan keadilan masyarakat Islam Rohingya bukan bermakna negara ini mahu campur tangan pentadbiran Myanmar.

"Bukan kita nak campur tangan dalam hal mereka, tetapi mereka melakukan kezaliman. Kita masuk campur kerana kitalah negara yang akan menerima kesan daripada apa yang mereka lakukan.

"Kesan keselamatan, kesan kemanusiaan, kesan sosio ekonomi... macam-macam lagi. Jadi, jangan cerita pada kita (bahawa) kita nak campur tangan," katanya kepada kira-kira 500 hadirin pada program "Himpunan Peduli Ummah: Pray 4 Rohingya" yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Sekretariat Selangor Humanitarian Fund (SHF), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Syed Hamid berkata, pada masa ini usaha sedang dibuat untuk melihat bagaimana ASEAN dan negara seperti Malaysia serta Indonesia yang mempunyai bilangan masyarakat Islam yang ramai boleh melakukan sesuatu untuk membantu masyarakat Rohingya.

Katanya, usaha juga sedang dijalankan untuk mengumpul bukti penindasan dilakukan terhadap masyarakat Rohingya termasuk gambar dan klip video yang diserahkan mangsa penganiayaan berkenaan bagi dikemukakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Walaupun Myanmar bukan ahli dalam Statut Rom mengenai Mahkamah Jenayah Antarabangsa tetapi kita ada banyak saluran yang boleh kita gunakan, kepakaran yang membolehkan kita bawa mereka (untuk didakwa) atas kes jenayah kemanusiaan," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi, ketika berucap, berkata penindasan terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar adalah sangat mendukacitakan.

Katanya, penganiayaan itu mewajibkan semua pihak bertindak atas nama kemanusiaan terutama sekali atas nama Islam.

"Islam mengajar umatnya dalam hal kemanusiaan termasuk terhadap haiwan. Ada orang berasa pelik mengapa saya dari parti pembangkang boleh bersama dengan kerajaan.

"Dalam masalah kemanusiaan kita mesti bersatu. Menentang kezaliman perlu bersatu. Dalam masa kita berbeza pendapat, kita boleh berbuat demikian, tetapi kita berbalah ada batas dan hadnya.

"Masalah Myanmar menyentuh soal kemanusiaan," katanya.

Berita Harian X