Ahad, 25 Disember 2016 | 4:30pm

OKU maut kemalangan

YAN: Seorang lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU), maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Bukit Besar, Jalan Alor Setar-Sungai Petani, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadiaan kira-kira jam 9 pagi itu, penunggang motosikal, Ramli Mustafa, 66, maut di tempat kejadiaan sementara pemandu kereta berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritendan Muhamad Halim Yatim, sebaik mendapat maklumat anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa lelaki warga emas itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadiaan oleh pasukan Paramedik Hospital Yan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadiaan berlaku ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar, sebelum tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan membelok awal ke kanan untuk masuk simpang ke Jalan baru menghala ke Alor Pudak dan Kampung Gelam.

"Disebabkan tindakan itu, pemandu kereta terbabit cuba untuk membrek dan menggelak namun gagal akibat jarak yang terlalu dekat lalu merempuh mangsa.

"Motosikal mangsa terbalik manakala mangsa terpelanting jatuh ke atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadiaan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X