Ahad, 25 Disember 2016 | 6:24pm

Kecik tinggalkan Hyper Act

KUALA KUMPUR : Vokalis Hyper Act, Kecik, 22, mengumumkan meninggalkan kumpulan itu selepas mencapai kata persetujuan dengan ahli band.

Kecik atau nama sebenarnya, Mohammad Fauzi Kamarudin, berkata keputusan mengundurkan diri itu dibuat secara baik.

Menurut Kecik, dia masih boleh bekerjasama dengan Hyper Act pada masa akan datang.

"Saya membuat pengumuman di sosial media untuk memberi penjelasan secara rasmi dan menyerahkan sepenuhnya kepada kumpulan Hyper Act untuk mengadakan sesi sidang media mengenai perkara ini.

"Terima kasih kepada Hyper Act kerana memperkenalkan nama saya dalam industri seni. Saya banyak terhutang budi dengan mereka kerana membuka ruang dalam bidang nyanyian.

"Namun, saya tidak pernah mengambil sebarang tawaran persembahan solo tanpa ahli Hyper Act. Saya tidak pernah membelakangkan mereka dalam membuat sebarang tindakan," katanya kepada BH Online.

Kecik berkata, dia belum mempunyai perancangan untuk kerjaya nyanyian. Dia lebih selesa bergerak secara berkumpulan berbanding solo.

Mengulas mengenai kemelut Hyper Act bersama vokalis sebelum ini iaitu Ronnie, Kecik memilih untuk tidak mencampuri urusan itu.

Selain Kecik, Hyper Act turut dianggotai Md Zakir Mohd Rahizan yang bermain keyboard; Freddy Ady Putra Adnan (gitar utama); Sharizan Syarifudin (gitar kedua); Toi (pemain bass dan vokalis kedua) dan Zamri Haron (dram).

123 dibaca
Berita Harian X