Isnin, 26 Disember 2016 | 2:25pm

Aliran trafik di lebuh raya mula perlahan

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di sepanjang lebuh raya utama perlahan tengah hari ini, susulan pertambahan jumlah kenderaan yang mula bergerak pulang ke destinasi masing-masing selepas berakhir cuti Hari Natal.

PLUS Malaysia Berhad menerusi laman Twitter @plustrafik, melaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, trafik perlahan sebelum Terowong Menora menghala Jelapang.

Situasi sama turut dilaporkan sebelum masuk Plaza Tol Juru menuju Bukit Tambun; Sungkai ke Slim River; Simpang Pulai ke Gopeng dan lorong mendaki selepas Changkat Jering menuju Bukit Berapit.

Trafik juga perlahan selepas keluar Plaza Tol Sungai Besi menuju pusat bandar. Turut sesak adalah selepas Senawang menuju Seremban,

Sementara itu, satu kemalangan dilaporkan di Kilometer (KM) 59.4 arah utara pada jam 11.13 pagi tadi, dari Pendang ke Alor Setar Selatan di Kedah, namun tidak membabitkan penutupan lorong.

Di selatan, dua kemalangan dilaporkan berlaku di KM20.8 dari Sua Betong ke Lukut, Negeri Sembilan serta KM52.6 dari Simpang Renggam ke Sedenak, Johor tetapi, trafik dilaporkan terkawal.

Secara keseluruhannya, aliran trafik terkawal dan pemandu dinasihati merancang perjalanan supaya dapat sampai ke destinasi pada waktu ditetapkan.

Orang ramai juga boleh merujuk jadual cadangan waktu perjalanan yang disediakan PLUS sempena cuti perayaan Hari Natal dan Tahun Baharu 2017 di laman Twitter @plustrafik atau melayari www.plus.com.my.

Berita Harian X