Selasa, 27 Disember 2016 | 6:50pm

Malaysia sertai Futsal AFF di Bangkok


LAMAN sesawang Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2016 di http://www.aseanfootball.org/v2/

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah antara tujuh negara yang akan menyertai Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2016 di Bangkok dari 23 hingga 29 Januari ini.

Menurut AFF, negara lain yang mengesahkan penyertaan adalah tuan rumah yang juga juara bertahan iaitu Thailand, Brunei, Myanmar, Laos, Indonesia dan Timor Leste.

Thailand yang memburu kejuaraan kali ke-12 di kejohanan itu diletakkan dalam Kumpulan A bersama Brunei, Timor Leste manakala Malaysia pula dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos dan Indonesia.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Indonesia akan membuat penampilan semula dalam kejohanan ini selepas tidak menyertainya pada 2015 kerana penggantungan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran campur tangan kerajaan dalam liga domestik republik itu.

Kejohanan ini sepatutnya diadakan pada 3 Oktober lalu tetapi ditunda hingga Januari berikutan kemangkatan Raja Bhumibol Aduyadej. - BERNAMA

Berita Harian X