Rabu, 28 Disember 2016 | 10:51am

MRT kebanggaan rakyat Malaysia


CATATAN di Twitter @najibrazak

KUALA LUMPUR: Netizen terus memberi pelbagai maklum balas dalam laman Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa satu yang dilancarkan pada 15 Disember lalu.

Mereka menyifatkan kemudahan itu sebagai bukti kecemerlangan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien kepada masyarakat pelbagai kaum di ibu negara.

Seorang netizen, Michael Lee Beng Seng, berkata M8RT adalah kemudahan awam cemerlang dan beliau berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana menyediakannya kepada rakyat.

Bagi David Allymuthu pula, walaupun belum menggunakan kemudahan itu, beliau yakin ia adalah kemudahan yang terbaik untuk rakyat.

"Tahniah! Saya sokong perkhidmatan MRT di negara kita," katanya.

Seorang lagi netizen, Zaini Ali Mamat, berkata walaupun belum menaiki kemudahan itu, sebagai rakyat Malaysia, beliau berbangga kerana negara ini memiliki sistem pengangkutan awam setanding negara maju.

"Belum naik lagi, suatu hari nanti nak cuba juga. Kejayaan Malaysia membangunkan MRT menjadi kebanggaanku," katanya.

Zikri Khan pula berkata, Perdana Menteri melakukan yang terbaik kepada rakyat menggunakan hashtag #RespectMyPM.

Salleh Hodden pula berkata, "Terbaik... memang luas dan selesa... Terima Kasih PM (Perdana Menteri).. .idea yang terbaik untuk warga ibu Kota.

Isnin lalu, Najib menjemput orang ramai memberi maklum balas terhadap perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang fasa satu yang dilancarkan pada 15 Disember lalu.

"Dah 10 hari MRT beroperasi, macam mana, siapa dah naik? Boleh beri maklum balas kepada @MRTMalaysia kalau ada apa-apa cadangan dan pendapat," tulis Najib dalam catatan di laman rasmi Facebooknya.

Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar memaparkan penumpang menggunakan perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma selama sebulan sehingga 16 Januari depan.

Laluan fasa pertama MRT membabitkan 12 stesen di antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer itu mula beroperasi pada 16 Disember lalu.

Ia membabitkan stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Berita Harian X