Rabu, 28 Disember 2016 | 8:04pm

Dua penyamun parah dilanggar mangsa

SALAH seorang dari dua lelaki dipercayai penyamun parah selepas dikatakan dilanggar kereta wanita yang mereka samun di Ara Damansara, awal pagi tadi.
SALAH seorang dari dua lelaki dipercayai penyamun parah selepas dikatakan dilanggar kereta wanita yang mereka samun di Ara Damansara, awal pagi tadi.

PETALING JAYA: Seorang wanita dipercayai bertindak nekad melanggar sebuah motosikal dinaiki dua penjenayah dengan kereta dipandunya sejurus disamun ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Evolve Mall, Ara Damansara di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa yang memandu kereta jenis Volkswagen Beetle secara bersendirian dikatakan berhenti di persimpangan lampu isyarat di situ sebelum sebuah motosikal Kawasaki Ninja dinaiki dua lelaki berhenti di sisi sebelah kiri keretanya.

Sebelum lampu isyarat bertukar hijau, seorang suspek tiba-tiba memecahkan cermin tingkap pada bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan mengambil beg komputer riba milik mangsa sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa yang berang dengan kejadian itu kemudian mengejar motosikal suspek dalam usaha untuk mendapatkan semula beg komputer ribanya yang dilarikan.

"Mangsa dipercayai berjaya mengejar motosikal suspek dan seorang saksi yang juga pengawal keselamatan yang sedang bertugas di premis berhampiran terdengar dentuman kuat.

"Pengawal terbabit kemudian dengar suara wanita menjerit 'perompak' sebanyak tiga kali sebelum bergegas ke tempat kejadian dan nampak dua lelaki jatuh daripada motosikal. Seorang daripada mereka cuba melarikan diri ke arah sebuah kantin di tapak pembinaan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya pengawal keselamatan terbabit menangkap kedua-dua suspek sebelum menghubungi pihak polis.

"Kedua-dua suspek yang cedera parah dalam kejadian itu dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, manakala mangsa tidak cedera.

"Suspek adalah lelaki tempatan dan masing-masing berusia 26 tahun. Semakan mendapati mereka berdua mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Kejadian ini turut viral di media sosial selepas beberapa keping gambar kejadian itu tersebar dan dikongsi orang ramai melalui Facebook dan WhatsApp.

Berita Harian X