Khamis, 29 Disember 2016 | 6:42am

Format baharu UPSR jadi perhatian


HANYA 1.11 peratus daripada 452,751 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A dalam UPSR tahun ini. - Foto Fathil Asri

TAHUN ini menyaksikan pelbagai transformasi dan penambahbaikan dibuat dalam sektor pendidikan dengan matlamat melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi untuk meneraju negara pada masa depan, selain mampu bersaing di peringkat antarabangsa. 

Antara transformasi utama yang mendapat perhatian masyarakat pada tahun ini ialah pelaksanaan format baharu peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dilihat memberi kesan kepada calon apabila hanya 4,896 atau 1.11 peratus daripada 452,751 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A bagi mata pelajaran yang diambil.

Keputusan itu sudah tentunya menerima reaksi pelbagai daripada ibu bapa kerana terlalu jauh perbezaan berbanding pencapaian tahun lalu, namun Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof  berpendapat  pencapaian calon tidak boleh dibandingkan dengan tahun lalu kerana UPSR 2016 berdasarkan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan format baharu peperiksaan. 

Gred Purata Nasional (GPN) juga tidak boleh dibandingkan secara terus dengan tahun lalu kerana bilangan A tahun ini tidak sama memandangkan tahun lalu laporan berdasarkan tiga gred iaitu A, B dan C untuk mencapai tahap minimum, manakala tahun ini empat gred iaitu A, B, C dan D.

Berikutan itu,  Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baharu kemasukan pelajar Tingkatan Satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi 2017, iaitu sekurang-kurangnya 3A dan 3B dalam UPSR tahun ini.

Perkasa bidang TVET

Bagi memperkasakan lagi bidang latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) pula, kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk mengubah suai sembilan kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada politeknik dan kolej vokasional, termasuk satu sebagai pusat latihan tenaga pengajar TVET.

Peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2017, Oktober lalu itu turut menyediakan RM270 juta bagi tujuan menaik taraf peralatan pembelajaran di institusi TVET.

Usaha memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Inggeris juga diteruskan melalui Program Dwibahasa (DLP) yang mula dilaksanakan pada tahun ini membabitkan 296 sekolah rendah dan menengah menawarkan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Dalam Bajet 2017, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM90 juta untuk memperluaskan program penguasaan bahasa Inggeris melalui program Cambridge English, DLP & Highly Immersive.

Tranformasi dan penambahbaikan yang dibuat kerajaan bagi memastikan sistem pendidikan kita bertaraf dunia itu berjaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja berkebolehan, malah mampu bersaing pada peringkat dunia, sekali gus mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul kejayaan dalam pelbagai pertandingan antarabangsa.

Malaysia juara Kejohanan Robotik Dunia

Satu pencapaian yang sangat membanggakan apabila kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Robotik Dunia (WRO) 2016 apabila menewaskan 500 pasukan daripada 57 negara yang bertanding dengan membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa serta Anugerah Kecemerlangan.

Pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba (SMKLPT), Khairul Ikmal Hakim Nurisyam pula mengharumkan nama negara apabila meraih tempat pertama acara Roket Air Peringkat Asia Pasifik di Laguna, Filipina, manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Nur Amisha Azrilrizal, 14, meraih pingat emas dalam Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Bangkok, Thailand pada September lalu.

Tiga pelajar Penang Free School, Pulau Pinang pula berjaya menunjukkan prestasi cemerlang pada peringkat antarabangsa apabila produk inovatif ciptaan mereka meraih tempat ketiga bagi kategori Sains Pembuatan di Pameran Antarabangsa Sains dan Kejuruteraan Intel (Intel ISEF) 2016 di Arizona, Amerika Syarikat.

Sektor pendidikan tinggi negara juga berubah seiring dengan perkembangan teknologi dunia, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel sebagai usaha mendepani cabaran landskap pembangunan sistem pendidikan negara pada masa depan.

Agenda pendidikan fleksibel menerokai kaedah baharu dengan peluang lebih luas bagi melanjutkan pelajaran turut diperkenalkan melalui pelaksanaan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOC).

Tahun ini, kerajaan memperkenalkan APEL bagi tujuan penganugerahan kredit atau APEL (C) supaya individu yang berpengalaman kerja atau pernah menyertai pelbagai kursus pendek, boleh mendapatkan pemindahan kredit untuk program akademik diikuti di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagi memastikan pelaksanaan terbabit tidak menjejaskan kualiti graduan IPT di negara ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut melancarkan Garis Panduan APEL (C) dan Pindah Kredit MOOC, akhir September lalu.

Setakat ini, empat IPT sudah memperoleh kelulusan melaksanakan APEL (C), iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Wawasan Open University dan INTI International University, manakala pelancaran Garis Panduan Pindah Kredit MOOC pula menjadikan Malaysia satu-satunya negara mempunyai dasar nasional jelas mengenai pemindahan kredit menerusi MOOC ketika ini.

UA jana pendapatan sendiri

Pengurangan peruntukan Bajet 2017 daripada RM13.378 bilion kepada RM12.132 bilion untuk sektor pendidikan tinggi pula menjadi cabaran besar kepada UA untuk menyelaras strategi bagi berdikari, sekali gus menjana pendapatan sendiri.

Bagaimanapun, langkah itu dijalankan bukan hanya untuk penyesuaian terhadap keadaan ekonomi yang tidak stabil ini, tetapi juga untuk masa depan UA yang lebih mapan dengan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan menerusi pelbagai usaha penjanaan kekayaan menggunakan kepakaran masing-masing.

Justeru, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengesyorkan semua UA mengambil langkah proaktif menjana pendapatan sendiri melalui tabung wakaf, endowmen dan sumbangan alumni, tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan.

Ketika ini, hanya enam universiti sudah menubuhkan tabung wakaf, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pencapaian UA pada peringkat global turut membanggakan apabila tiga universiti penyelidikan negara menunjukkan peningkatan dalam senarai QS University Rankings: Asia 2016 dengan dua daripadanya tersenarai dalam 50 universiti terbaik Asia.

UPM mencatat kejayaan membanggakan apabila melonjak 17 tangga daripada kedudukan ke-66 pada tahun lalu kepada kedudukan ke-49, manakala Universiti Malaya (UM) memperbaiki kedudukan daripada tangga ke-29 pada 2015 kepada 27, tahun ini.

Lebih membanggakan lagi, empat mahasiswa Fakulti Undang-Undang UiTM mengharumkan nama negara apabila muncul pemenang tempat ketiga pada Pertandingan Moot Pelaburan Langsung Asing (FDI Moot 2016) di Buenos Aires, Argentina, November lalu.

Pasukan pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila menjuarai Pertandingan Debat Antara Universiti (Cambridge IV) di Universiti Cambridge, London; Pertandingan Debat Antara Universiti Australasian (Australs), Pertandingan Debat United Asian (UADC) dan Pertandingan Debat Parlimen British Asia (ABP).

Berita Harian X