X
Khamis, 29 Disember 2016 | 2:02pm

Kerajaan Melaka bantu baiki rumah mangsa ribut

PEGAWAI Daerah Jasin, Zamrud Yahya. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PEGAWAI Daerah Jasin, Zamrud Yahya. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

JASIN: Nasib mangsa ribut membabitkan 18 rumah dan dua gerai makan di Kampung Lipat Kajang, Merlimau, di sini, Jumaat lalu mendapat perhatian kerajaan negeri.

Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya, berkata kerajaan negeri menerusi Tabung Bencana Daerah menanggung sepenuhnya kos membaik pulih semua rumah itu, manakala kerja membaik pulih dua gerai milik penduduk yang turut rosak dipukul ribut pula dibantu melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri dan Pejabat Parlimen Jasin.

"Kerja membaiki kerosakan kediaman itu sudah selesai dilaksanakan dan kita berterima kasih kepada pihak yang membantu urusan ini termasuk Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lipat Kajang.

"Diharap, semua mangsa dapat menjalani kehidupan selesa dan berdoa bencana itu tidak berulang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu, beberapa rumah di Kampung Lipat Kajang rosak dilanda ribut, pada kira-kira jam 5.30 petang.

Bencana alam itu turut menyebabkan beberapa laluan terhalang akibat pokok tumbang dipukul ribut.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad turut turun padang bagi menghulurkan bantuan ihsan kepada semua mangsa terbabit.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Jasin dan beberapa jabatan kerajaan turut membantu mangsa yang terjejas akibat ribut.

Berita Harian X