Khamis, 29 Disember 2016 | 3:31pm

Pemandu lori, tunang mangsa langgar lari


KEADAAN motosikal mangsa yang dilanggar sebuah kereta yang belum dikenalpasti di Jalan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

KEADAAN motosikal mangsa yang dilanggar sebuah kereta yang belum dikenalpasti di Jalan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

PELABUHAN KLANG: Seorang pemandu lori dan tunangnya maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di Jalan Pelabuhan Barat, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, Arifshah Lingam Muniandy, 39, dan tunangnya, Nor Aishah Abdullah, 35, sedang dalam perjalanan menghala ke Shah Alam dari Pandamaran.

Bagaimanapun, anak Nor Aishah, Muhammad Aril Amri Mohd Adam,3, yang turut menaiki motosikal berkenaan terselamat.

Katanya, ketika sampai di kawasan berdekatan sebuah stesen minyak di jalan berkenaan, motosikal dinaiki mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta belum dikenal pasti.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng wanita mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kanak-kanak berkenaan bagaimanapun hanya luka dan calar di bahagian badan serta dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Siasatan sedang diteruskan bagi mengesan kereta yang terbabit dalam kemalangan dan punca kejadian," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Alzafny berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sutri Patang menerusi talian 018-9427088.

Berita Harian X