Jumaat, 12 Disember 2014 | 4:23pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

Majlis Perniagaan ASEAN-Korea Selatan berupaya tingkatkan pembabitan swasta, komuniti bisnes

BUSAN: Majlis Perniagaan ASEAN-Korea Selatan yang penubuhannya dicadangkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak, sangat berguna untuk meningkatkan lagi pembabitan sektor swasta dan komuniti bisnes dari rantau berkenaan dan republik ini.

Perdana Menteri yang memaklumkan demikian kepada wartawan Malaysia selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan 25 Tahun Hubungan Dialog ASEAN-Korea Selatan, di sini sebentar tadi, berkata pada sidang berkenaan, beliau juga mengalu-alukan kewujudan Pusat Inovasi ASEAN-Korea Selatan di Seoul yang memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Melalui pusat ini, projek inovatif dapat dilaksanakan, sekali gus mewujudkan peluang dan kapasiti untuk kalangan negara ASEAN melakukan lebih banyak inovasi," katanya.

Katanya, sidang juga berharap Pusat ASEAN-Korea Selatan yang turut beroperasi di Seoul sejak lima tahun lalu bagi melaksanakan program promosi perdagangan dan pelaburan dapat memperkembangkan lagi hubungan di antara rakyat republik ini dan rantau berkenaan.

Dari segi geopolitik keselamatan pula, beliau berkata, persidangan itu mengulangi pendirian bahawa Semenanjung Korea mesti mematuhi semua resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai program nuklear serta hal keselamatan isu berkaitan.

"Kira juga berharap apa juga masalah dan ketidaksefahaman yang timbul diselesaikan menerusi perbincangan walaupun sukar kerana kita percaya ia mekanisme terbaik bagi menjamin keamanan dan keselamatan semenanjung berkenaan," katanya.

Berita Harian X