Jumaat, 30 Disember 2016 | 8:18pm

Azmin Ali, Amiruddin tinggalkan FAS


DATUK Seri Mohamed Azmin Ali dan Amirudin Shari.

SHAH ALAM: Menjelang sepak mula Liga Super 21 Januari ini, Selangor berdepan satu lagi 'malapetaka' apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengambil keputusan melepaskan jawatannya dan enggan lagi terbabit dengan pengurusan persatuan bola sepak negeri itu.

Turut mengambil tindakan sama adalah bekas pengurus pasukan The Red Giants merangkap EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan negeri, Amirudin Shari.

Menerusi kenyataan media bersama yang dikeluarkan menerusi akaun rasmi Facebooknya, Mohamed Azmin menjelaskan beliau tidak lagi mahu bersama organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa serta tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak negeri itu.

"Selepas hampir dua tahun bersama FAS, kami tidak melihat kesediaan FAS untuk mendukung perubahan apabila terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Selangor.

"Barisan EXCO FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama yang mengamalkan politik yang berlebihan, pengurusan cara lapuk dan mentaliti terlalu bergantung kepada subsidi.

"Malah, sehingga kini, mereka masih gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bola sepak Selangor, termasuklah organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang 2018," katanya.

Konflik membabitkan pengurusan FAS sebelum ini mendapat perhatian Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang memuat naik saranan melalui akaun rasmi Instagramnya, supaya `orang lama' dalam organisasi terbabit berundur dengan cara terhormat.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi sokongan dan dukungan kepada kemajuan sukan bola sepak Selangor melalui kaedah baharu yang akan diputuskan kelak.

"Kami memberi jaminan kepada penyokong bola sepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bola sepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti," katanya.

Situasi ini bakal meletakkan peruntukan daripada kerajaan negeri yang dimohon FAS sebelum ini dalam keadaan tanda tanya.

FAS berkemungkinan besar berdepan masalah mendapatkan dana daripada kerajaan negeri, sekali gus memaksa mereka mencari dana sendiri yang bernilai sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan Selangor meneruskan saingan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Kegagalan Selangor mencari RM15 juta bakal meletakkan pasukan 'King of Malaya' itu berdepan masalah sehingga mampu menyebabkan mereka menarik diri daripada saingan musim hadapan.

15 dibaca
Berita Harian X