Jumaat, 30 Disember 2016 | 8:37pm

Wanita maut kereta bertembung


KEMALANGAN maut yang melibatkan seorang nyawa dan dua lagi cedera dalam kemalangan di Kampung Lepan Anjung, Jalan Jelawang - Gua Musang, Dabong. - Foto Ihsan Pembaca

KUALA KRAI: Seorang wanita maut, manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Lepan Anjung, Jalan Jelawang-Gua Musang, Dabong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Nurul Nasuha Zulkefli, 23, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Rantau Panjang.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata kemalangan berlaku apabila kereta Honda Civic, yang dinaiki mangsa dan dipandu Muhammad Afif Jazimin Ibrahim, 24, dari arah Jeli ke Dabong, Kuala Krai dipercayai hilang kawalan.

"Kenderaan dinaiki mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Proton Waja, dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun dari arah Jelawang menghala Gua Musang.

"Akibat pertembungan itu, mangsa maut di lokasi kejadian dan kedua-dua pemandu mengalami kecederaan. Semua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut dan bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

Berita Harian X