Sabtu, 31 Disember 2016 | 12:02am

Tahap saringan pap smear di Malaysia masih rendah

KUALA LUMPUR: Kesedaran golongan wanita terhadap penyakit barah pangkal rahim masih rendah apabila hanya 40 peratus yang direkodkan melakukan ujian pap smear sejak ia diperkenalkan pada 1970.

Tahap saringan sehingga 2014 sepatutnya sampai kepada 70 peratus bagi mengesan Human papillomavirus (HPV), punca penyakit barah pangkal rahim.

Barah pangkal rahim menjadi punca kematian ketiga dalam kalangan wanita di negara ini selain barah jenis lain kerana ia dikesan pada tahap lewat.

Pakar Perunding Kanan dan Pakar Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan, berkata data itu membuktikan tidak semua wanita tampil menjalani ujian pap smear sejak prosedur itu diperkenalkan.

Pap smear kata beliau, adalah cara terbaik dan mudah untuk mengesan barah pangkal rahim pada peringkat pra kanser yang mana terdapat jangkitan HPV tetapi tidak ramai wanita menjalani ujian itu kerana alasan takut, malu, tiada masa dan sebahagiannya tidak diketahui sebabnya.

"Barah pangkal rahim sebenarnya boleh diubati hampir seratus peratus sekiranya dapat dikesan awal malah satu-satunya barah yang boleh dicegah menerusi vaksin," katanya.

PAKAR Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Jamiyah Hassan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PAKAR Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Jamiyah Hassan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Jalani pemeriksaan awal

Peluang untuk mencegah barah pangkal rahim adalah tinggi sekiranya datang awal kerana jangkitan kuman HPV lazimnya mengambil masa sehingga sepuluh tahun sebelum menjadi barah.

HPV mempunyai lebih 150 subjenis tetapi jenis yang menyebabkan barah seperti virus subjenis 15 dan 20 (onkogenik HPV virus).

HPV virus subjenis 16 dan 18 dikenal pasti menyebabkan 70 peratus daripada barah pangkal rahim dalam kalangan wanita di dunia termasuk di negara kita.

Pada masa ini terdapat dua vaksin yang diperkenalkan sejak 10 tahun lalu untuk wanita iaitu Bivalent untuk subjenis 16 dan 18.

Vaksin kedua adalah Quadrivalent bagi subjenis HPV virus 6, 11, 16 dan 18.

Subjenis virus 16 dan 18, selain daripada menyebabkan barah pangkal rahim juga penyebab barah lubang dubur dan kerongkong bagi wanita dan lelaki serta alat kelamin lelaki.

Kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin wanita dan lelaki adalah disebabkan oleh HPV virus subjenis 6 dan 11.

Perlindungan sehingga 90 peratus

"Terbaharu terdapat vaksin yang dikenali sebagai nonavalent yang melindungi daripada semua subjenis yang terdapat dalam dua vaksin sebelum ini serta tambahan lima subjenis lagi iaitu 31,33,45, 52 dan 58.

"Menerusi tambahan lima subjenis itu sekaligus menjadikan vaksin ini melindungi 90 peratus barah pangkal rahim, peningkatan 70 peratus berbanding sebelumnya. Bagi barah alat kelamin lelaki pula, peningkatan perlindungan daripada 85 peratus ke hampir 92 peratus," katanya.

Hanya vaksin quadrivalent dan nonavalent yang diluluskan untuk golongan wanita dan lelaki.

Sementara vaksin bivalent hanya diluluskan untuk wanita.

Bagi mendapatkan perlindungan yang maksimum daripada jangkitan HPV dan seterusnya barah pangkal rahim, vaksin perlu diambil sebanyak tiga dos mengikut jadual.

Tiga dos vaksin nonavalent

Dr Jamiyah berkata, berdasarkan kajian, pengambilan vaksin nonavalent selepas individu melengkapkan vaksin quadrivalent tidak menimbulkan sebarang isu keselamatan.

Beliau berkata, ada kajian menunjukkan virus HPV subjenis 52 dan 58, di antara jangkitan HPV yang terdapat dalam kalangan wanita Malaysia.

Justeru, vaksin nonavalent yang mengandungi subjenis tambahan 31,33,45,52 dan 58 boleh memberi perlindungan yang lebih.

Vaksin nonavalent perlu diambil sebanyak tiga dos untuk perlindungan sempurna daripada virus HPV dan boleh didapati di hospital bermula bulan Januari tahun 2017.

Lelaki atau wanita yang pernah dijangkiti HPV juga perlu mendapatkan vaksin kerana masih berisiko mengalami jangkitan oleh subjenis lain selain mengurangkan risiko jangkitan berulang.

INFO

Apakah HPV?

- Penyakit jangkitan seksual yang paling lazim.

- Berbeza dengan HIV atau herpes.

Siapa berisiko dijangkiti?

- Semua lelaki dan wanita yang aktif seks.

Bagaimana ia menjangkiti seseorang?

- Menerusi hubungan seks.

Adakah hubungan sesama jenis saja boleh menyebabkan barah lubang dubur atau anal dalam kalangan lelaki?

- Tidak semestinya, lelaki juga boleh dijangkiti HPV walaupun tidak mengadakan hubungan seks semasa jenis.

Bentuk ketuat kelamin:

- Muncul dalam benjolan kecil atau kumpulan benjolan di sekitar alat kelamin.

- Ketuat boleh berbentuk kecil atau besar, menonjol atau rata serta berbentuk seakan bunga kobis.

Bagaimana ketuat dibuang?

- Dikorek keluar.

- Dibakar dengan laser.

- Dicairkan untuk mematikan sel.

Data di Malaysia pada tahun 2012:

- 5.8 wanita didiagnos mengalami barah pangkal rahim setiap hari.

- 50 peratus menjadi punca kematian kerana barah dikesan lewat.

SUNTIKAN vaksin anti HPV membantu mencegah barah pangkal rahim dan barah alat kelamin bagi lelaki.
SUNTIKAN vaksin anti HPV membantu mencegah barah pangkal rahim dan barah alat kelamin bagi lelaki.

Berita Harian X