Sabtu, 31 Disember 2016 | 9:58am

Beberapa kampung di Kuala Krai dinaiki air


KEDIAMAN Rokiah Ahmad di Kampung Mengkebang, dimasuki air sedalam 2 meter ekoran hujan lebat dan angin kuat bermula jam 4 pagi tadi. - Foto Ihsan Zaid Ahmad.

KUALA KRAI: Beberapa kampung di daerah ini dinaiki air sehingga dua meter, berikutan hujan lebat sejak jam 4 pagi tadi.

Kampung berkenaan termasuk Kampung Mengkebang, Sungai Durian, Keroh, Guchil dan Chenulang.

Difahamkan, beberapa jalan sudah ditutup kepada kenderaan ringan bermula jam 7 pagi tadi termasuk hadapan Petronas Guchil dan bawah jambatan kereta api dekat Tasik Kuala Krai, manakala jalan di Sungai Durian dibuka satu lorong kerana air bertakung.

Penduduk di Kampung Mengkebang, Rokiah Ahmad, 28, berkata rumahnya mula dinaiki air sekitar jam 6 pagi selepas hujan lebat beberapa jam.

"Kawasan rumah saya sudah tidak boleh dilalui kerana paras air mencecah sehingga dua meter.

"Saya tidak sempat memindahkan barangan seperti perabot ke tempat yang lebih tinggi dan berharap air cepat surut supaya kami tidak perlu berpindah," katanya.

Berita Harian X