Sabtu, 31 Disember 2016 | 1:33pm

Program Tanam Pokok Mega Parlimen Ledang diiktiraf MBOR


HAMIM (tengah) bersama dengan peserta yang menyertai Program Tanam Pokok Mega Parlimen Ledang 2016 yang turut menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record di Kampung Parit Kasaan, Bukit Gambir, Tangkak.

TANGKAK: Program Tanam Pokok Mega Parlimen Ledang 2016 diiktiraf sebagai program penanaman pokok paling banyak oleh Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menanam 3,114 pokok jenis karas.

Kejayaan itu sekali gus memadam rekod dipegang Tesco Store (Malaysia) Sdn Bhd yang menanam 1,500 pokok jenis yang sama di Dungun, Terengganu, pada 2013.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, berkata lebih manis kejayaan itu dilakukan serentak di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ledang iaitu Serom, Tangkak, Bukit Gambir, yang turut menjadi simbolik kepada penyatuan hati masyarakat.

"Menerusi program anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Ledang dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), kita berjaya menanam 3,114 pokok jenis karas di kawasan seluas 12.14 hektar.

"Ia membabitkan penanam pokok secara serentak di Bandar Baharu Tangkak di DUN Tangkak; Kampung Pulau Penarik di DUN Serom dan Kampung Parit Kasan di DUN Bukit Gambir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Tanam Pokok Mega Parlimen Ledang 2016 di Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, Datuk M Asojan; ADUN Serom, Abd Razak Minhat dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Pada majlis itu, Hamim turut menerima Sijil Pengiktirafan MBOR yang diserahkan oleh pegawai MBOR, Nurasyikin Ramli.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan buku bertajuk Gunung Ledang Malaysia, Flora Puncak Tertinggi Paling Selatan Asia yang mendokumentasikan pelbagai jenis dan keindahan flora di gunung itu serta melancarkan logo program Love Ledang Tangkak yang akan menjadi logo identiti setiap program di Parlimen Ledang.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang, berkata berharap program berkenaan akan dapat memupuk kesedaran masyarakat khususnya di Parlimen itu untuk turut menjaga kelestarian alam sekitar.

Berita Harian X