Selasa, 3 Januari 2017 | 3:12pm

Cederakan peniaga, tukang kayu didenda RM700


Tertuduh, Mohd Ariff Nordin, 30, (kanan) didenda RM700 di Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencederakan seorang peniaga. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Seorang tukang kayu dihukum denda RM700 oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan seorang peniaga, pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Ariff Nordin, 30, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret Analia Kamaruddin.

Mohd Ariff dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Lee Boon Siong, 30, di sebuah kedai di Jalan Kesidang 2/24, Taman Kesidang 2, Bachang, Melaka, pada jam 11.55 pagi, 23 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam, Luqman Hakim Azhar memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai tukang kayu sudah mengaku bersalah selain isterinya sedang sarat mengandung dan menanggung kedua ibu bapa yang sudah tidak bekerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran ke atas tertuduh.

Selepas mendengar kedua-dua hujah, Analia menjatuhkan hukuman denda RM700, gagal bayar sebulan penjara.

Berita Harian X