Khamis, 5 Januari 2017 | 12:06am

Naratif ilmiah Maulana Rumi jelaskan makna sufi hakiki


BUKU, Rumi.

'TARIAN' sufi khususnya dengan gerakan darwish yang berputar sinonim kepada pelancong ke Turki termasuk dari negara ini, manakala dalam konteks tanah air, ia menjadi polemik hebat apabila sekelompok agamawan mengkritik amalannya dengan menganggap ia tidak ada kena-mengena dengan agama.

Bagaimanapun, sekiranya kita mengkaji dengan lebih mendalam, tarian sufi atau istilah setepatnya sama', memiliki hubung kait dalam tradisi sufi yang memang banyak mengungkapkan pelbagai simbol untuk memperjelaskan persoalan berbentuk metafizikal.

Apatah lagi sama' atau gerakan darwish yang berputar memiliki mata rantai tradisi sehingga tokoh besar sufi, Maulana Jalaluddin Rumi pada abad ke-13 yang puisinya paling banyak dibaca di Amerika Syarikat, pengaruhnya melebar dari Barat ke Timur seperti yang terbentang dalam buku Rumi Past and Present, East and West: The Life, Teachings and Poetry of Jalal Al-Din Rumi karya Prof Franklin D Lewis.

Buku Lewis yang pernah meraih Anugerah Persatuan Persahabatan British-Kuwait pada 2001 terus diulang cetak sehingga cetakan terbaru pada tahun ini sudah tentu tidak hanya menyorot 'whirling dance' itu, sebaliknya meneliti setiap aspek kehidupan Maulana Rumi.

Pengaruh sebagai ulama besar

Ia bukan hanya memberikan gambaran menyeluruh kepada Maulana Rumi dari aspek peribadi, bahkan mengenai teks dan ajarannya serta pengaruhnya sebagai ulama besar yang menguasai ilmu secara holistik dan pengasas kepada gerakan tarikat al-Maulawiyah atau Mevlevi yang meninggalkan kesan kepada dunia Islam dan Barat.

Secara sejarahnya, Maulana Rumi hidup pada zaman Dinasti Saljuk, tetapi tarikatnya yang dibawa oleh anaknya, Sultan Valad, berkembang pada era Turki Uthmaniyah sehingga menduduki tempat khas di sisi khalifah serta tersebar ke Afrika Selatan, Eropah dan alam Melayu.

Sebagai karya ilmiah, buku ini menyelidiki setiap sumber untuk membina naratif akademik terhadap kehidupan dan ketokohan Maulana Rumi yang sudah tentu berdepan dengan cabaran hebat apatah lagi dengan rujukan yang tidak terlepas daripada hagiografi, iaitu cenderung memperbesar-besarkan tokoh dan tidak kritikal.

Kita akan didedahkan dengan wacana ilmiah berdasarkan sumber seperti Ebteda Nama karya Sultan Valad; Manaqib Al-'Arifin (Aflaqi); Resale-ye Sepahsalar (Faridun Sepahsalar); Nafahat Al-Ons (Jami) dan Tazkerat Al-Shu'ara (Dowlatshah) untuk membentuk kronologi yang utuh yang mengambil kira hakikat kisah sufi yang tidak terlepas daripada karamah.

Bagaimanapun, karya mereka banyak membantu sarjana pada abad berikutnya seperti RA Nicholson, Abdul Baki Golpinarli, Annemarie Schimmel dan Badi Al-Zaman Foruzanfar serta tidak terkecuali pengarangnya sendiri, sehingga dapat memancarkan imej yang tidak terlepas daripada hakikat sufi tetapi pada mempunyai dasar berpijak kepada landasan ilmiah.

Pengaruhi Barat

Selain kehidupan dan teks seperti Mathnawi, Diwan Shams, Fihi Ma Fihi serta surat dan syarahan Maulana Rumi, pengarang turut melihat bagaimana pengaruhnya bukan saja mencorak dan mewarna dunia Islam, bahkan memercikkan hikmah kepada manusia Barat sendiri.

Dalam keadaan dunia Barat mencari kebahagiaan rohani termasuk melalui konsep New Age, Maulana Rumi dengan menyalin suri teladan Rasulullah SAW yang menyebarkan rahmatan lilalamin sehingga turut menyentuh manusia yang menyedari sains dan teknologi mengulangi sejarah buruk agama pada zaman gelap Eropah.

Selepas melihat pengaruh Rumi terhadap tradisi sufi dan sastera dunia Islam, Lewis menyorot alunan Mathnawi dan tarikat al-Maulawiyah bukan saja menggerakkan kesarjanaan Barat untuk mengkajinya, bahkan menyentuh emosi keintelektualan mereka sehingga turut mencuri perhatian khalayak budaya popular.

Di sebalik keseriusan subjek dan ketebalan material, buku ini wajar menjadi telaahan wajib kepada pembaca yang bukan saja tergolong mereka yang tekal membaca karya sufi, bahkan kepada khalayak umum untuk menggali makna dan hakikat yang boleh diibaratkan samudera maknawi.

24 dibaca
Berita Harian X