Khamis, 5 Januari 2017 | 2:15pm

Terus desak Myanmar perbaiki hak asasi manusia

KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) bergambar bersama etnik Rohingya selepas melancarkan tabung Perhimpunan Aman Bagi Membela Masyarakat Islam Rohingya peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Kerajaan Melaka berharap tekanan terus diberikan pelbagai pihak, termasuk masyarakat antarabangsa ke atas Myanmar dalam usaha membela nasib etnik Rohingya yang ditindas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata desakan melalui perhimpunan solidariti yang dibuat kerajaan Malaysia dan terbaru oleh Melaka, harus diteruskan bagi memastikan mereka memperbaiki hak asasi manusia yang terjejas di negara berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Belia Sedunia (WAY) berkata, perhimpunan aman yang dianjurkan bukan bertujuan untuk mencampuri urusan kerajaan Myanmar, sebaliknya mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa segera campur tangan bagi memperbaiki hak asasi manusia yang terjejas teruk, terutama di wilayah Rakhine, Myanmar.

"Difahamkan, ketika ini sedang berlangsung pemilihan di PBB, kita juga sedia maklum di negara itu (Myanmar) terdapat seorang pemimpin yang terkenal memperjuangkan keamanan.

"Bagaimanapun, pemimpin yang juga penerima Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi yang suatu ketika dulu kita sanjung, kini dilihat tiada langsung ciri-ciri kemanusiaan.

"Saya kira, dia (Suu Kyi) boleh pulangkan balik anugerah itu selepas tidak lagi dilihat sebagai pejuang hak asasi manusia," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Aman Membela Masyarakat Islam Rohingya peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Majlis disertai kira-kira 8,000 peserta, termasuk 1,000 etnik Rohingya yang mewakili Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) itu, berjaya mengumpul RM280,000 menerusi Tabung Demimu Rohingya yang dilancarkan sejak bulan lalu.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Presiden MERHROM, Zafar Ahmad Abdul Ghani.

Berita Harian X