Khamis, 5 Januari 2017 | 6:21pm

Top Glove peruntukan RM220 juta bagi Capex 2017


KILANG membuat barangan getah Top Glove Corporation Bhd di Meru, Klang. - Foto fail NSTP/Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Top Glove Corporation Bhd, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, memperuntukkan RM220 juta bagi perbelanjaan modal (Capex) bagi tahun kewangan 2017.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai, berkata kira-kira dua pertiga daripada jumlah itu akan digunakan bagi membina kapasiti baharu, manakala baki bagi kerja pengubahsuaian kapasiti sedia ada termasuk automasi.

Kumpulan itu mempunyai 25 kilang sarung tangan dengan 512 barisan pengeluaran.

Kerja sedang berjalan bagi memulakan operasi dua lagi kilang yang mempunyai 600 barisan pengeluaran menjelang Mei 2018.

"Kami sedang dalam proses menumpukan semua kapasiti kami dalam kawasan Klang kerana ia berdekatan ibu pejabat kumpulan dan Pelabuhan Klang. Ia akan memberi kami kelebihan," katanya pada taklimat media berhubung prestasi suku tahun pertama 2017 syarikat yang berakhir pada 30 November 2016.

Menurut kumpulan itu, permintaan global bagi sarung tangan berkembang pada kadar purata 6.0-8.0 peratus setahun yang dianggarkan sebanyak 190 bilion keping setahun.

Memandangkan kos buruh dan bahan mentah semakin meningkat, selain pertukaran asing yang tidak stabil, Top Glove perlu berubah kepada teknologi pengeluaran yang lebih cepat dan cekap bagi mengekalkan marjin keuntungan. - BERNAMA

19 dibaca
Berita Harian X