Khamis, 5 Januari 2017 | 10:59pm

Mangsa banjir di Kelantan meningkat, 14,074 orang malam ini

MANGSA, Mohd Fauzi Riduan bersama anaknya melihat keadaan rumahnya yang rosak akibat banjir di Kampung Merabang, Machang. - Foto Siti Nadzirah Che mud
MANGSA, Mohd Fauzi Riduan bersama anaknya melihat keadaan rumahnya yang rosak akibat banjir di Kampung Merabang, Machang. - Foto Siti Nadzirah Che mud

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 14,074 orang daripada 4,996 keluarga setakat jam 9 malam ini berbanding 13,496 orang daripada 4,823 keluarga 5 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin, berkata sebanyak 41 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di lima jajahan negeri ini.

Jumlah mangsa banjir paling ramai ialah di Jajahan Pasir Mas iaitu sebanyak 10,094 orang daripada 3,753 keluarga yang ditempatkan di 30 pusat pemindahan, diikuti Jajahan Tumpat sebanyak 3,456 orang daripada 1,103 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan, katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, dijangkakan semakin ramai mangsa banjir di Jajahan Tumpat akan dipindahkan ke pusat pemindahan malam ini dan esok berikutan air dari kawasan hulu Sungai Golok mengalir ke jajahan itu.

Terdapat 463 orang (127 keluarga) ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Pasir Puteh, 50 orang (12 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Kota Bharu dan 11 orang (satu keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Machang, katanya.

Zainuddin menasihati penduduk di Jajahan Tumpat agar sentiasa peka dengan perkembangan banjir di kawasan masing-masing dengan berpindah awal ke pusat pemindahan.

Sementara itu, di KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di daerah Pitas, kira-kira 180 kilometer dari sini, kekal 178 orang daripada 49 keluarga setakat pukul 9 malam ini, sama seperti petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata 168 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dan bakinya di SK Pekan 2 Pitas.

Di KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 2,652 orang di 29 pusat pemindahan setakat jam 9 malam ini.

Walaupun daerah seperti Besut, Setiu dan Hulu Terengganu yang sebelum ini terjejas teruk sudah semakin pulih, banjir di Kuala Terengganu bertambah buruk sehingga menyebabkan pertambahan mangsa kepada 783 orang daripada 191 keluarga berbanding 401 orang (99 keluarga) petang tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi aplikasi Infobanjir, daerah Dungun terus mencatat pengurangan mangsa iaitu 623 orang (163 keluarga) berbanding 812 orang (212 keluarga).

Ini diikuti Kemaman 339 orang (97 keluarga) berbanding 437 orang (116 keluarga) dan Setiu seramai 215 orang berbanding 234 orang sebelum ini.

Bagaimanapun, tiga daerah lain kekal tidak berubah iaitu Hulu Terengganu seramai 625 orang (175 keluarga), Besut hanya 28 orang (sembilan keluarga) dan Marang pula 39 orang (13 keluarga). - BERNAMA

Berita Harian X