Jumaat, 6 Januari 2017 | 12:05am

Kekalkan keremajaan kulit

KOLAGEN yang terhasil oleh benang PDO membantu menegangkan kulit.

MUNGKIN ramai menyangka rawatan tanam benang (threadlifting) rumit, memberi kesan sampingan yang agak ketara dan berbahaya.

Proses tanam benang sangat mudah dan hanya mengambil masa lebih kurang sejam dengan menggunakan benang jenis Polydioxanone (PDO) dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan jarum yang sangat halus.

Benang itu akan diserap pada kulit wajah dan badan selepas dua hingga empat bulan rawatan dijalankan. Benang yang diserap itu akan merangsang badan untuk menghasilkan kolagen.

Dalam badan kita terdapat sejenis protein yang dipanggil kolagen dan elastin. Kedua-dua protein ini adalah sejenis tisu khas yang boleh membuatkan kulit anjal.

Apabila usia meningkat, kolagen, elastin dan lemak dalam badan akan berkurangan yang mengakibatkan muka kelihatan kendur dan berkedut.

Kaedah selamat

Kolagen yang terhasil oleh benang PDO membantu menegangkan kulit. Benang PDO ini hanya digunakan untuk menjahit luka dalaman. Kaedah ini sudah lama dijalankan dan terbukti selamat. Prosedur pertama bagi mereka yang ingin menjalani rawatan kecantikan tanam benang seharusnya berunding dengan doktor sebelum rawatan dilakukan.

Doktor akan menerangkan kesan sampingan dan risiko yang bakal dihadapi dan bagaimana rawatan itu dilakukan. Selepas pesakit bersetuju, rawatan dilakukan dengan menyapukan krim kebas pada wajah supaya tidak rasa sakit ketika rawatan dijalankan.

Kemudian, wajah akan dicuci dengan bersih dan memasukkan benang PDO ke dalam kulit menggunakan jarum khas.

Biasanya untuk rawatan pada wajah benang yang digunakan berukuran antara 25 hingga 60 mililiter (mm) manakala pada tubuh pula berukuran 60 hingga 90 mm.

Penggunaan benang PDO dapat memberi hasil seperti:

- Menganjalkan wajah dan leher seperti kulit pipi serta rahang

- Meremajakan kulit wajah.

- Mengurangkan kerutan pada wajah, garis senyum, kerutan pada dahi dan sudut mata.

- Mencerahkan kulit wajah

- Mengecilkan pori-pori.

- Membuat wajah menjadi tirus.

- Mengurangkan kulit berlapis di bawah dagu.

Tiada batasan usia untuk rawatan ini, iaitu seawal 21 tahun ke atas. Namun bagi yang hamil, menyusukan bayi atau ada masalah radang pada kulit wajah, kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal tidak digalakkan melakukan rawatan ini.

Rawatan tanam benang tidak ada banyak kesan sampingan, cuma bengkak dan kemerahan untuk tempoh satu atau dua hari.

Masalah jangkitan jarang berlaku. Mereka yang menjalani rawatan ini tidak dibenarkan membuat urutan pada muka dan tidak boleh mengadakan aktiviti lasak selama seminggu selepas rawatan kerana bimbang terkena sebarang jangkitan.

Namun, empat jam selepas rawatan, mereka dibenarkan mencuci wajah mereka perlahan-lahan.

PEMAKANAN seimbang termasuk sayur-sayuran membantu mengekalkan kesihatan wajah dan tubuh.

Rangsang kolagen

Justeru, bagi wanita yang menginjak usia 40-an mula risau dengan perubahan tubuh mereka. Untuk kekal kelihatan muda dan sihat seumpama ini antara rawatan yang boleh dilakukan.

Selain menjalani rawatan penjagaan wajah sebegini, orang ramai seharusnya menjalani kegiatan hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan sentiasa bersenam dan menggunakan produk kecantikan bersesuaian.

Cuma, bagi mereka yang mahukan rawatan lebih segera dan berbaloi bagi merangsang kolagen, rawatan benang PDO mungkin boleh anda fikirkan kerana ia mampu bertahan sehingga dua tahun.

Selepas tempoh itu, mereka digalakkan membuat rawatan ini lagi. Jika enggan, ia tidak memberi sebarang kesan negatif, sebaliknya wajah akan kembali seperti sebelum rawatan.

Info

Rawatan tanam benang atau threadlifting (PDO)

* Tujuan rawatan adalah untuk menegangkan kulit.

* Rawatan benang PDO salah satu kaedah yang paling selamat, tanpa pembedahan.

* Prosedur ini lazimnya dilakukan untuk bahagian muka.

* Rawatan ini boleh juga digunakan untuk menegangkan dan menganjalkan:

- payudara

- leher

- lengan

- paha

- perut

- betis

- mengetatkan dan menaikkan punggung.

Berita Harian X