Jumaat, 6 Januari 2017 | 5:15pm

Juruelektrik sembunyi harta curi dipenjara 6 bulan


CHONG Eng Chooi dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyembunyikan harta curi berjumlah RM11,420, tiga tahun lalu. - Foto Nurul Fatihah Zakinan

AYER KEROH: Seorang juruelektrik dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyembunyikan harta curi berjumlah RM11,420, tiga tahun lalu.

Chong Eng Chooi, 41, dari Pulau Pinang membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyembunyikan harta curi berjumlah RM6,420 di Public Bank cawangan Ayer Keroh, jam 2.05 petang, pada 27 Jun 2013.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa turut melakukan perbuatan sama dengan jumlah RM5,000 di bank cawangan sama, jam 12.29 tengah hari, pada 28 Jun 2013.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban yang melakukan pendakwaan memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman diringankan dengan alasan perlu menanggung bapa, isteri dan seorang anak kecil.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Disember tahun lalu. Hukuman berjalan secara serentak.

14 dibaca
Berita Harian X