Jumaat, 6 Januari 2017 | 8:49pm

Ayam tandoori dimakan kucing, pengusaha restoran mohon maaf


FOTO diambil daripada rakaman video seekor kucing memakan sisa ayam tandoori atas alas pemotong di kiosk sebuah restoran 24 jam.

IPOH: Rakaman video seekor kucing memakan sisa ayam tandoori atas alas pemotong di kiosk sebuah restoran 24 jam di Jalan Laxamana di sini yang tersebar luas di laman sosial, menimbulkan kecaman netizen.

Video selama satu minit 48 saat itu yang dipercayai dirakam pelanggan itu, antara lain menunjukkan kiosk ditinggalkan tanpa pengawasan kakitangan.

Keadaan itu menyebabkan seekor kucing memanjat dan memakan sisa makanan pada alas pemotong di kiosk berkenaan.

Pemilik restoran, Jasni Shamsudin, tampil memohon maaf atas kejadian malam Khamis lalu itu.

Katanya, kejadian itu diketahuinya selepas sepasukan pegawai dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakukan pemeriksaan ke premisnya.

"Ketika kejadian, seorang daripada pekerja ke dapur untuk mengambil bahan membuat roti naan. Ketika kiosk ditinggalkan tanpa pengawasan antara dua hingga tiga minit, seekor kucing melompat ke atas dan memakan sisa ayam tandoori di situ," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jasni berkata, pekerja berkenaan digantung tugas sementara manakala peralatan membuat tandoori dan roti naan dibuang sebagai langkah menjaga aspek kebersihan.

Katanya, menu itu tidak lagi dijual mulai hari ini.

Sementara itu, jurucakap MBI berkata, pemilik restoran berkenaan dikenakan kompaun RM250 kerana tidak mementingkan aspek kebersihan premis, selain diberi surat amaran dan diarah menghentikan penjualan ayam tandoori berkuat kuasa serta-merta.

Tinjauan mendapati pelanggan tetap mengunjungi premis itu namun kiosk ayam tandoori dan roti naan tidak lagi ditempatkan di pintu masuk restoran berkenan.

28 dibaca
Berita Harian X