Sabtu, 7 Januari 2017 | 12:47am
STESEN Waterloo antara yang dijangka ditutup susulan mogok itu. - Gambar hiasan

Stesen Tube di London tutup Isnin ini

LONDON: Kebanyakan stesen kereta api bawah tanah utama di London akan ditutup Isnin ini berikutan mogok 24 jam oleh pekerja.

Transport for London (TfL) yang mengendalikan rangkaian operasi Tube dipetik sebagai berkata, mogok berkenaan bakal memberi kesan kepada jutaan pengguna.

Syarikat itu dilaporkan berkata, kebanyakan stesen utama seperti Victoria, King's Cross, Waterloo, Paddington, Euston, Bank dan London Bridge dijangka ditutup susulan mogok itu.

Perkhidmatan Docklands Light Railway (DLR) bagaimanapun dijadualkan beroperasi seperti biasa dan lebih sibuk berbanding hari lain, manakala Piccadily Line akan digunakan untuk perjalanan ke Lapangan Terbang Heathrow dari Hammersmith.

Mogok yang dijadual bermula petang Ahad, digerakkan oleh kesatuan RMT dan TSSA selepas perbincangan menyelesaikan pertelagahan dalam kalangan pekerja tidak menghasilkan kejayaan.

Ketua Kesatuan RMT, Mick Cash, berkata perbincangan itu gagal mencapai kata sepakat dan semua tindakan akan diteruskan.

Mogok itu berlaku sehari sebelum pemandu di rangkaian Southern yang mengendalikan perkhidmatan kereta api antara ibu negara, Lapangan Terbang Gatwick dan pantai selatan, mengadakan tunjuk perasaan selama dua hari, menyebabkan perjalanan ratusan penumpang terhenti. - REUTERS

Berita Harian X